Unimap sedia tawar tempat buat pelajar kudung cemerlang SPM - Utusan Malaysia

Unimap sedia tawar tempat buat pelajar kudung cemerlang SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 15 Mac – Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bersedia menawarkan tempat kepada calon berkeperluan khas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2, Kelantan, yang kudung sebelah tangannya untuk mengikuti program pengajian peringkat Diploma Kejuruteraan di universiti berkenaan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, universiti itu berbesar hati untuk membantu Muhammad Ridzwan Roslan, 18, meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan sekali gus menggapai impiannya bergelar sebagai seorang jurutera.

Kata beliau, sebagai sebuah universiti berteraskan kejuruteraan dan diiktiraf lima bintang oleh Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating, Unimap merupakan pilihan tepat untuk Muhammad Ridzwan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia selari dengan hasrat Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk menyediakan laluan khas kepada empat golongan bagi kemasukan ke Universiti Awam (UA), yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), atlet, Orang Asli dan golongan berpendapatan rendah.

“Meskipun daripada kalangan pelajar OKU, kami yakin Muhammad Ridzwan tidak akan menghadapi masalah dalam mengikuti pengajian di Unimap,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Muhammad Ridzwan sebak ketika diumumkan sebagai pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang diumumkan di sekolahnya setelah memperoleh 4A+, 4A, 1A- dan 1B+.

Dia yang merupakan anak sulung daripada empat adik beradik itu turut dilaporkan berhasrat menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan.

Zul Azhar seterusnya berharap Muhammad Ridzwan dan keluarganya akan menimbang peluang melanjutkan pengajian di Unimap, selain bersedia bertemu dengan mereka untuk perbincangan lanjut.

Mengulas lanjut, Zul Azhar berkata, menerusi Pusat Pengajian Diploma, Unimap menawarkan enam program pengajian untuk calon lepasan SPM iaitu Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Diploma Kejuruteraan Metalurgi, Diploma Kejuruteraan Komputer, Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Diploma Kejuruteraan Mikroelektronik dan Diploma Kejuruteraan Elektrikal.

“Program pengajian Diploma mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu pelajar akan terus mengikuti pengajian dalam bidang yang diminati seterusnya memudahkan perancangan kerjaya kelak.

“Sebagai contoh, program Diploma Kejuruteraan Mekatronik sememangnya mengandungi kurikulum yang berasaskan penciptaan mesin, peralatan serta teknologi robotik dan ia selari dengan kehendak industri,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini