UMNO, Pas 'bersanding' hari ini - Utusan Malaysia

UMNO, Pas ‘bersanding’ hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Mac – Setelah berkerjasama dalam enam pilihan raya kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO dan Pas secara rasmi mengumumkan kerjasama rasmi antara kedua-dua parti bagi tujuan penyatuan ummah.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan malah menyifatkan, kehadiran kepemimpinan Pas ke Ibu pejabat partinya di Menara Dato’ Onn di sini hari ini bagi membincangkan penubuhan jawatankuasa induk membentuk penyatuan ummah, merupakan majlis ‘persandingan’ UMNO dan Pas.

Beliau bagaimanapun menegaskan, kerjasama itu bukan bermaksud UMNO dan Pas bergabung, sebaliknya satu ikatan untuk menyatukan ummah tanpa meminggirkan keseluruhan masyarakat termasuk kaum Cina dan India.

“Mula-mula kita hantar cincin tunang di Sungai Kandis (PRK), selepas itu kita bertunang di Seri Setia (PRK) dan selepas itu sekarang ini kita sudah kenduri kahwin ini, sudah rasmi (kerjasama)

“Dengan ini kita merasmikan jawatankuasa induk. Kita sudah bersanding hari ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bagi membentuk jawatankuasa tersebut di sini.

Pengumuman kerjasama itu sekali gus dapat menepis dakwaan bahawa Pas tidak akan menyokong UMNO seperti diperkatakan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perbincangan antara UMNO dan Pas itu turut menyentuh mengenai kerjasama kedua-dua parti dalam setiap PRK selepas ini dan kerjasama dalam Parlimen sebagai blok pembangkang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN