UMNO desak Kertas Putih dibentang di Parlimen - Utusan Malaysia

UMNO desak Kertas Putih dibentang di Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mac – UMNO mendesak supaya sebuah Kertas Putih disedia dan dibentangkan segera di Parlimen susulan kejadian pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor sejak minggu lalu.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Kertas Putih itu mestilah menjelaskan bagaimana kejadian tersebut bermula, sebab-sebab di sebalik kelewatan tindakan oleh kerajaan negeri dan langkah bagi menangani kesan jangka masa panjang krisis tersebut terhadap Pasir Gudang dan sekitarnya.

“Krisis seperti ini harus ditangani dengan pantas dan menyeluruh. Selain itu, UMNO berharap bahawa pihak di sebalik pertumpahan sisa kimia ini akan mengambil tanggungjawab.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hanya melalui penyediaan Kertas Putih, segala ketelusan yang diperlukan dapat dipersembahkan kepada umum. Ia juga akan dapat mengenal pasti segala kelemahan mesti segera diperbaiki selain mencari siapa yang harus dipertanggungjawabkan atas kelemahan dalam menangani krisis ini secara pantas dan berkesan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, tambahnya, tragedi di Pasir Gudang telah menjadi krisis pencemaran dan jenayah biokimia yang serius dan tindakan lewat akan mengeruhkan lagi keadaan dan sepatutnya diberikan perhatian dengan lebih cepat.

“Ia memerlukan mobilisasi segala sumber oleh Kerajaan Pusat, justeru saya menyeru agar Majlis Keselamatan Negara mengambil alih tanggungjawab bagi menangani krisis tersebut.

“Saranan ini bukan sekadar untuk membendung merebaknya kesan pencemaran sisa toksik ini ke radius kawasan yang lebih luas tetapi menangani kesan jangka masa panjang krisis ini terhadap kesihatan dan kelestarian alam sekitar kawasan Pasir Gudang dan sekitarnya,” katanya.

Jelas Mohamad lagi, UMNO turut berpendirian bahawa kerajaan mestilah melantik seorang jurucakap yang khusus bagi menyalurkan segala maklumat yang sahih, tepat dan pantas.

“Penyampaian maklumat yang cekap mampu membantu rakyat negeri Johor melalui pencegahan penularan berita palsu. Semenjak gelombang pertama krisis ini, kerajaan negeri sepatutnya menyediakan sumber maklumat utama yang konsisten untuk mengelakkan kecelaruan.

“Pelbagai maklumat yang tidak tepat telah mendominasi media sosial negara. UMNO berharap bahawa kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua pihak dalam menangani krisis dengan sistematik dan berwibawa,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini