WASHINGTON 5 MAC – ANGGOTA Parti Republikan dan Demokrat Amerika Syarikat (AS) menyifatkan maklum balas pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap penindasan golongan etnik Islam Uighur di wilayah Xinjiang adalah ‘tidak cukup lantang’.
Agensi berita CNN melaporkan, mereka juga mahu Trump mendesak Beijing untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah kemanusiaan dilakukan oleh negara itu ke atas etnik Uighur.
“Pentadbiran Trump mengambil tindakan yang tidak bermakna berhubung situasi di Xinjiang,” tegas anggota Kongres menerusi surat yang dikirimkan kepada Setiausaha Negara, Mike Pompeo.
Dalam surat tersebut, anggota Kongres terbabit yang diketuai Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan, Eliot Engel menjelaskan lebih sejuta etnik Uighur ditahan di ‘kem pendidikan semula’ tanpa melalui proses tertentu, dalam usaha Beijing ‘menghapuskan’ identiti, bahasa dan sejarah Uighur.
“Maklum balas antarabangsa terhadap penindasan seperti ini adalah tidak memberangsangkan.
“Wujud laporan beberapa syarikat AS mungkin menyumbang kepada penindasan tersebut menerusi sokongan dan hubungan komersial dengan syarikat Hikvision serta Dahua – dua firma teknologi gergasi yang mengaut keuntungan daripada perbelanjaan keselamatan di Xinjiang,” jelas surat tersebut.
Surat berkenaan juga mendedahkan rancangan syarikat Frontier Services Group yang berpangkalan di Hong Kong, untuk membina ‘pusat latihan’ di Xinjiang.
“Contoh-contoh seperti ini menunjukkan bukan sahaja perlunya meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai isu hak asasi manusia di Xinjiang, tetapi juga desakan supaya pegawai China dan sesiapa sahaja yang memberi kebenaran kepada mereka untuk bertindak sedemikian agar bertanggungjawab,” tegas surat itu.
Surat itu juga menuntut maklumat sama ada AS memantau penggunaan teknologi AS dari aspek pengawasan dan penahanan etnik Uighur di Xinjiang selain butiran mana-mana syarikat yang didakwa menyediakan pemindahan teknologi, penjualan atau latihan keselamatan untuk pegawai China dan mempunyai kaitan dengan entiti beroperasi di Xinjiang.
Surat terbabit turut menyeru Trump mendedahkan rancangannya, sama ada secara bersendirian atau bersekutu bagi mendesak Beijing bertanggungjawab.
Dalam perkembangan berlainan, Senator Republikan dan Demokrat melahirkan rasa kecewa berhubung kegagalan pentadbiran Trump mendedahkan lebih banyak maklumat berkaitan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
“Segalanya membazir masa. Saya tahu lebih banyak maklumat berbanding mereka,” kata Senator Republikan, Lindsey Graham yang juga sekutu rapat Trump terhadap pelbagai isu.
Jelas Graham seperti dipetik oleh Reuters, sudah tiba masanya untuk mereka sendiri bertindak tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut mengenainya.
“Ini sangat tidak membantu dan amat mengecewakan sehingga kami terpaksa mencari jalan sendiri,” kata Senator Republikan, Mitt Romney.










