Tunaikanlah janji, belajar santuni rakyat - Utusan Malaysia

Tunaikanlah janji, belajar santuni rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam menunjukkan majoriti rakyat mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) serius menunaikan janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Keputusan PRK DUN Semenyih menunjukkan kesungguhan rakyat mahu kerajaan berkenaan melakukan segera perubahan dijanjikan tanpa memberikan alasan yang mereka tidak boleh terima.

Sebagai rumusan dapatlah dikatakan pengundi mahu memberitahu kerajaan PH supaya masing-masing belajar bagaimana menyantuni rakyat selepas menang pilihan raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Calon PH yang menang dalam PRU-14 mesti menjalankan tugas mengikut apa yang dijanjikan dalam pilihan raya dan tidak mengabaikan kehendak mereka selepas itu.

Sebagai contoh, pemimpin tertinggi seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pernah berjanji akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya.

Namun begitu, sehingga sekarang harga petrol turun kepada paras RM1.50 seliter sebagaimana yang dijanjikan sebelumnya masih gagal ditunaikan kerajaan PH.

Begitu juga janji pemimpin PH terdahulu yang kononnya mahu menghapuskan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan yang memperoleh pendapatan bawah RM4,000 turut tidak dilaksanakan sehingga kini.

Bayaran tol yang turut dijanjikan akan dihapuskan sebaik sahaja PH memerintah juga tidak dilaksanakan.

Parti komponen PH turut berjanji akan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menggantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) supaya dapat menurunkan harga barang.

Tetapi ternyata langkah berkenaan tidak begitu berkesan dan rakyat terus berada dalam keadaan hidup yang sentiasa tertekan.

Walaupun calon BN, Zakaria Hanafi hanya menang dengan majoriti 1,914 undi, namun ia sudah cukup untuk meningkatkan semangat dan moral penyokongnya termasuk Pas.

Strategi penyatuan semangat ahli UMNO dan Pas berjaya mewujudkan suasana politik baharu dalam usaha memperjuang dan mempertahankan hak serta kepentingan orang Melayu Islam di negara ini.

Secara tidak langsung memberi isyarat kepada pemimpin parti pelbagai kaum di negara ini bahawa pengundi Melayu sebenarnya dapat menentukan landskap politik dan pemerintahan tanah air pada masa depan walaupun DAP didominasi penyokong serta pengundi Cina.

Ia juga dapat membuktikan bahawa kepentingan dan hak orang Melayu boleh dipertahankan jika mereka terus bersatu sepanjang masa tanpa mengabaikan nasib kaum lain di negara ini di samping menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti mana yang diuar-uarkan pemimpin parti berkenaan, sekali gus UMNO tidak wajar dibubarkan.

Sebenarnya kemenangan calon BN dalam PRK DUN Semenyih ini bukan sekadar disumbangkan oleh faktor isu janji dalam manifesto PH yang tidak dapat ditunaikan, malah ada faktor-faktor lain yang turut membantu.

Antaranya ialah faktor calon apabila pengundi merasakan calon BN lebih berpengalaman dan berkelayakan memimpin berdasarkan kelulusan akademik dimiliki, personaliti menakjubkan serta kesiapsiagaannya berkhidmat kepada masyarakat setempat pada bila-bila masa.

Selain Zakaria dikenali penduduk tempatan, sikapnya yang sederhana, tenang ketika menghadapi cabaran dan sentiasa merendah diri apabila berhadapan dengan orang ramai dikatakan berjaya menambat hati pengundi.

Beliau yang gemar melakukan kerja-kerja kebajikan terutama membantu golongan kurang upaya dan lanjut usia di sekitar Beranang memudahkannya untuk didekati.

Kemenangannya dalam PRK DUN Semenyih membuktikan bahawa penduduk setempat mahu beliau meneruskan khidmat kebajikan rakyat dan beliau sanggup menerima kepercayaan yang diberikan orang ramai kepadanya.

Kerjasama penyokong UMNO dan Pas yang bertungkus-lumus membantu Zakaria berkempen turut menyumbang kepada kejayaan itu terutama pemimpin tertinggi kedua-dua parti berkenaan.

Sentimen berkaitan isu kepentingan Melayu dan Islam turut menyumbang kepada kejayaan itu seperti mana diperkatakan oleh Anwar ketika diminta pihak media memberi komen terhadap kekalahan calon PH.

“Kerajaan PH harus mengambil kira situasi ini agar ia dapat diperbaiki,” kata Anwar.

DATUK DR. AZMI ABDUL MALEK ialah perunding media dan penyelidikan sains politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini