JERANTUT – Sebuah treler yang sarat dengan muatan rosak di tengah jalan menyebabkan pengguna jalan raya yang melalui laluan Jerantut-Lipis terkandas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, sebuah treler yang datang dari arah Jerantut dipercayai mengalami kerosakan ketika mendaki bukit berhampiran Bukit Atap, di sini.
Akibatnya, treler tersebut telah melintang jalan menyebabkan laluan tersebut terhalang dan pihak polis terpaksa mengawal lalu lintas.
Difahamkan, kenderaan kecil boleh meneruskan perjalanan melalui kaki lima jalan namun perlu berhati-hati bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.
Kenderaan berat sering mengalami kerosakan ketika melalui jalan tersebut kerana laluan berbukit yang tinggi.
Setakat pukul 12.45 tengah hari ini treler terbabit masih belum dialihkan dan laluan tersebut akan beroperasi seperti biasa apabila kerja-kerja mengalih kenderaan berat itu selesai nanti. – K! ONLINE











