Tonto cabar Unit Gempur Marin - Utusan Malaysia

Tonto cabar Unit Gempur Marin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang tonto sindiket penyeludupan rokok bagaikan mencabar pasukan keselamatan apabila bertindak mengekori Unit Gempur Marin (UNGERIN) sejauh 59 kilometer (km) sebelum ditahan di balai pengawal Pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) di sini hari ini.

Tonto berusia 30-an itu ditahan pukul 6 pagi selepas mengekori UNGERIN dari Kuala Selangor dipercayai akibat marah selepas 6,420 karton rokok bernilai RM648,595.20 termasuk cukai dirampas mereka. 

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, pada mulanya terdapat tiga tonto dengan menaiki tiga buah kenderaan berasingan mengikuti pasukan PPM itu. 

Katanya, salah seorang daripada mereka telah bertindak berani dengan mengekori rapat sehingga ke Balai Pengawal PPM Pelabuhan Klang. 

“Tonto yang menaiki kereta jenis Toyota Vios itu dianggap berani dan melampau sehingga sanggup sampai di pangkalan kami. 

“Kita tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali menangkap lelaki terbabit yang disifatkan mengancam penjawat awam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau berkata, sebuah telefon bimbit dan kereta suspek kemudiannya dirampas untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat Seksyen 186 Kanun Keseksaan. 

Mohd. Yusoff memberitahu, terdahulu dalam dua serbuan berasingan bermula pukul 5 pagi di tepi Jalan Klang – Teluk Intan dan Jalan Raja Musa sekitar Kuala Selangor, pihaknya telah menahan tiga buah kenderaan masing-masing jenis Toyota Alphard dan Hiace. 

Katanya, hasil pemeriksaan kesemua kenderaan itu menemui 6,420 karton rokok pelbagai jenama termasuk Minna Merah Barokah dan Hitam International serta Nusantara Gudang Garam yang disimpan di dalam guni. 

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.018juta selain menangkap tiga ahli penyeludup berusia 30 hingga 40 tahun. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Yusoff turut menjelaskan sepanjang Januari hingga Februari ini sebanyak 925 kes direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM49.56 juta iaitu peningkatan 150 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak RM19.21 juta. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN