KUALA LUMPUR 5 Feb. – Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 berbanding RM1,100 ketika ini.
Menurut Dominic, hal itu berikutan panduan perbelanjaan ‘Belanjawanku’ yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam menunjukkan cadangan perbelanjaan minimum untuk golongan bujang adalah RM1,870 sebulan.
“Peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,500 dalam masa terdekat mampu mengurangkan jurang antara gaji minimum ketika ini dengan cadangan perbelanjaan RM1,870 buat golongan bujang.
“Perbezaan besar antara pendapatan dan perbelanjaan adalah hasil kegagalan kerajaan PH untuk memastikan setiap pekerja dibayar upah yang setimpal dengan mengikut kerja mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng melancarkan Belanjawanku yang menyediakan anggaran perbelanjaan minimum bulanan ke atas pelbagai barangan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh setiap isi rumah di Lembah Klang bagi mencapai taraf hidup yang selesa.
Mengulas lanjut, Dominic berkata, cadangan mengenai penurunan gaji minimum mengikut sektor menunjukkan kerajaan PH hanya mementingkan kehendak majikan berbanding rakyat yang berjuang untuk mendapatkan nafkah pencarian.
Selain itu, katanya, golongan berpendapatan sederhana (M40) turut diabaikan kerajaan PH sedangkan mereka juga memerlukan banyak bantuan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan sebagainya. – UTUSAN ONLINE










