KULAI 26 Mac – Polis menahan tiga ahli kongsi gelap berusia antara 16 hingga 18 tahun kerana mencederakan seorang lelaki di kawasan berhampiran ladang kelapa sawit, di Senai di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, semua suspek ditahan di dua lokasi berasingan masing-masing di Indahpura, Kulai dan Taman Ungku Tun Aminah, Skudai. pada pukul 12.15 pagi semalam.
“Menurut mangsa, pada pukul 3.50 pagi, 22 Mac lalu, dia didatangi enam buah kenderaan dan ditarik masuk ke dalam sebuah kereta sebelum diugut menyertai geng kongsi gelap.
“Matanya ditutup dengan kain dan diugut dengan pisau, mangsa yang menolak untuk memasuki geng kongsi gelap itu kemudian dipukul di satu kawasan sebelum ditinggalkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta patah jari di tangan kanan dan kiri.
Tambahnya, suspek yang ditahan akan direman sehingga 27 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 kanun yang sama. -UTUSAN ONLINE











