KLANG – Cubaan sekumpulan lelaki menyeludup masuk 280,000 batang rokok putih bernilai RM222, 006 termasuk cukai gagal selepas diberkas di tanah lapang kawasan perindustrian, Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, seramai sembilan suspek warga tempatan ditahan berusia 18 hingga 40 tahun.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, penangkapan itu hasil maklumat dan risikan pihaknya terhadap aktiviti penyeludupan rokok dari negara jiran ke negara ini.
Katanya, semasa serbuan mereka baharu 20 minit memunggah rokok-rokok tersebut daripada sebuah lori kepada lima buah kenderaan.
“Hasil pemeriksaan, kita merampas sebanyak 1,400 karton bersamaan 280,000 batang rokok jenama John D-Blend dan John White.
“Turut disita adalah enam kenderaan itu dengan nilai keseluruhan termasuk rokok adalah RM412, 006,” katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi.
Rosman menambah, siasatan mendapati rokok-rokok tersebut sebenarnya adalah untuk pasaran Thailand namun dilencongkan sindiket ke negara ini bagi pasaran tempatan.
Ujar beliau, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Kesemua suspek beserta rokok dan kenderaan itu kemudiannya dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Rosman menjelaskan sebanyak enam kes direkodkan pihaknya bermula Januari hingga Februari lalu dengan nilai rampasan RM3. 9juta membabitkan rokok, arak dan kenderaan penyeludup. – K! ONLINE










