TURIN 12 Mac – Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone melaungkan amaran bahawa mereka bersedia merebut peluang dalam usaha merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali pertama apabila bertemu Juventus dalam aksi timbal balik kalah mati kejohanan tersebut di Stadium Allianz awal pagi esok (waktu Malaysia).
“Anda tidak boleh hanya bercakap mengenai (Cristiano) Ronaldo, Juventus pasukan yang hebat dengan barisan pemain bintang yang sudah biasa untuk beraksi dalam perlawanan penting malah mereka kukuh di bahagian pertahanan.
“Ini pastinya perlawanan yang berbeza berbanding aksi pertama. Kami perlu merebut peluang ini dan lakukan yang terbaik. Kami hanya diberi peluang yang sedikit pada perlawanan pertama.
“Dua pasukan ini kuat namun hanya satu pasukan sahaja yang boleh layak. Sukar untuk bercakap pasukan mana yang menjadi pilihan. Mereka ada pemain yang berkualiti,” kata Simeone.
Atletico beraksi tanpa Diego Costa yang digantung perlawanan dan Antoine Griezmann dan Alvaro Morata berkemungkinan diberi tanggungjawab untuk menggalas cabaran di jentera serangan pasukan. – AFP











