HULU LANGAT 1 Mac – Kerjasama di antara UMNO dan Pas merupakan satu-satunya langkah yang boleh diambil bagi menyatukan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, kedua-dua parti Melayu terbesar negara tersebut akan duduk semeja minggu hadapan bagi bersama-sama mencari langkah untuk penyatuan tersebut.
“Selaku yang diberi tanggungjawab untuk memimpin UMNO, saya telah membuka pintu untuk bekerjasama dengan Pas. Tiada jalan lain dan saya tidak nampak ada formula lain untuk menyatukan orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini melainkan UMNO dan Pas mesti bekerjasama.
“Insya-Allah minggu hadapan kita akan bersama, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas) mengetuai Pas dan saya mengepalai UMNO dan kita akan duduk bersama untuk menyusun atur gerak kerja dan kita tidak akan memandang ke belakang lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam program Ceramah Perdana di Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini malam semalam.
Yang hadir sama, Tuan Ibrahim dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi.
Sementara itu, tambah Mohamad, pertemuan antara UMNO dan Pas itu akan diadakan pada 7 Mac ini dengan antara agendanya adalah untuk mengenal pasti bentuk kerjasama yang boleh dilakukan.
“UMNO dan Pas sudah bersama, cuma kita akan berjumpa dahulu untuk merangka terma rujukan supaya hubungan ini akan lebih rasmi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini sekian lama dapat hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni namun orang Melayu dan Islam ketika ini jelas berada dalam keadaan tidak selesa dan terancam.
“Apa yang berlaku ini bukanlah kerana kita hilang kuasa tetapi disebabkan dasar yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan memang tidak boleh menjamin masa depan orang Melayu dan agama Islam di negara ini,” katanya.











