KOTA BHARU 5 Mac – KEMISKINAN menghimpit lapan beradik di Kampung Padang Lengkuas, Melor dekat sini, selepas mereka hilang tempat bergantung.
Adik beradik yatim piatu ini tetap tinggal sebumbung demi ikatan kasih selepas kematian ibu mereka baru-baru ini, manakala bapa mereka pula meninggal dunia dua tahun yang lalu.
Segala tanggungjawab kini dipikul abang sulung mereka, Muhamad Zulqarnain Mohd. Bakhrudin, 20, manakala adik keduanya, Maykal, 19, mengambil alih tugas ibu mengurus makan pakai mereka sekeluarga.
Bagaimanapun, sehingga hari ini Muhammad Zulqarnain gagal mendapatkan pekerjaan walaupun telah berusaha mencari pendapatan tetap dan mereka sekeluarga hanya mengharapkan sumbangan orang kampung untuk terus hidup.
Zulqarnain ketika ditemui berkata, dia juga tidak mengambil slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak tiga tahun lalu kerana gagal melunaskan yuran sejak tingkatan tiga.
“Masalah sama juga turut dihadapi adik keempat saya yang gagal melangsaikan bayaran yuran dan tahun ini bakal menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), semua adik-adik termasuk bongsu baru umur lapan tahun masih sekolah kecuali Maykal.
“Selain masalah persekolahan adik-adik, saya bimbang tentang bil elektrik yang tertunggak sebanyak RM378.60 dan berharap ada insan sudi membantu,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Kelab Volenteer I Care (VIC) Muhammad Afiq Aiman Sukry di sini hari ini.
Ketika kunjungan tersebut, Muhammad Afiq menghulurkan bantuan berbentuk barangan dapur untuk keluarga itu.
Sementara itu, Muhammad Afiq berkata, kekangan kewangan pastinya menggagalkan mereka membawa wang saku sekolah dan makan apa sahaja yang ada di dapur rumah untuk mengalas perut ke sekolah.
“Zulqarnain dan adik perempuannya Maykal buat masa sekarang tidak mempunyai pendapatan tetap kerana masing-masing mengambil tugas sebagai pengganti ayah dan ibu dalam menjaga, menghantar dan menguruskan keluarga.
“Segala perbelanjaan sekolah dan barangan dapur buat masa ini disumbang penduduk kampung yang membantu sekadar yang termampu,” katanya.
Sebarang pertanyaan bagi menyalurkan bantuan, orang ramai boleh menghubungi Sekretariat VIC di www.wasap.my/60199344077/AnakYatim8Beradik.











