PUTRAJAYA 22 Mac- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak mengesahkan data sebanyak 400,000 penjawat awam tertekan seperti yang didedahkan Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Dr. Abdul Jalil Hassan berkata, data berkenaan merupakan anggaran kesatuan itu semata-mata berdasarkan kajian yang tidak melibatkan penjawat awam secara menyeluruh.
Bagaimanapun, Abdul Jalil berkata, beliau tidak menafikan sememangnya ada penjawat awam yang tertekan namun, definisi tertekan itu perlu difahami dengan jelas bagi mengelak persepsi negatif kepada penjawat awam dan kerajaan.
“Kajian yang dibuat oleh CUEPACS berdasarkan sampel mudah melalui libat urus dan pergaulan antara pelajar-pelajar universiti dan segelintir penjawat awam. Jadi, sampel kajian melibatkan 400,000 tidak mewakili populasi penjawat awam.
“Kita di JPA ketika ini dapat menangani tekanan dalam kalangan penjawat awam dengan baik melalui penyediaan pegawai-pegawai psikologi di setiap kementerian, jabatan, agensi dan juga negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, CUEPACS mendedahkan lebih 400,000 penjawat awam tertekan sehingga mengalami tekanan jiwa bahkan ada yang diberikan kad psikiatri dan punca utama masalah itu adalah kos sara hidup serta tekanan bekerja.
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda dalam laporan berkenaan berkata, 25 hingga 30 peratus daripada 1.67 juta penjawat awam mengalami tekanan dan trend tersebut tidak menunjukkan sebarang pengurangan sejak beberapa tahun lepas.
Menurut Abdul Jalil, definisi tertekan perlu difahami dengan jelas oleh semua pihak kerana terdapat tekanan negatif dan tekanan positif yang mana tekanan positif untuk penjawat awam disifatkan baik untuk meningkatkan prestasi kerja.
“Untuk jumlah berapa banyak penjawat awam tertekan, kita tidak mempunyai data itu. Namun, rawatan untuk masalah tekanan ada disediakan dan kajian untuk mengenal pasti jumlah sebenar akan diadakan dengan kerjasama semua pihak,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan CUEPACS bahawa ada penjawat awam yang memiliki kad psikiatri, Abdul Jalil berkata, kad berkenaan adalah satu perkara peribadi antara pesakit dan doktor sahaja, ianya tidak didedahkan kepada mana-mana pihak kecuali didedahkan pemilik.
“Kad psikiatri itu sebenarnya bukan diberikan untuk mengesahkan seseorang itu mengalami masalah mental semata-mata atau menjadi perkara negatif, sebaliknya ia bagi memudahkan pemilik kad berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan bantuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











