KUALA LUMPUR 17 Mac – Sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki terbabas selepas melanggar pembahagi jalan ketika melarikan diri daripada ditahan polis dalam kejadian di Jalan Ecohill, Semenyih hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, kedua-dua lelaki tersebut bagaimanapun berjaya melarikan diri sebelum mereka sempat ditahan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejadian bermula apabila Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang melakukan rondaan cegah jenayah menerima maklumat mengenai suspek curi kabel di Jalan Taman Maju 2, Rinching, Semenyih dekat sini.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, anggota MPV terserempak dengan kereta Toyota Vios yang dinaiki kedua-dua suspek yang memecut laju ke arah Semenyih. Setibanya di Taman Bandar Rinching Seksyen 2, kereta mereka telah merempuh sebuah Perodua Myvi yang diletakkan di tepi jalan.
“Kereta mereka kemudian terbabas melanggar pembahagi jalan dan masuk ke dalam longkang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ahmad Dzaffir, kedua-dua suspek melarikan diri di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian.
Ujarnya, hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut, pihaknya menemukan satu kunci, dua parang dan beberapa peralatan dipercayai digunakan bagi kegiatan pecah rumah.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek dan pemilik kenderaan terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 6 Akta Senjata Berbahaya kerana memiliki perkakas pecah rumah,” katanya.-UTUSAN ONLINE











