MELAKA 28 Mac – Kerajaan negeri memutuskan tarif air untuk sektor industri di negeri ini kekal pada kadar sama yang dikenakan sejak tahun 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, kadar yang dikenakan adalah RM2 untuk 0 hingga 50 meter padu; antara 50 hingga 100 meter padu (RM2.05) dan RM2.15 untuk kadar penggunaan melebihi 100 meter padu.
“Tarif air bersih untuk sektor industri kekal pada kadar lama dan Melaka adalah antara negeri yang masih mengekalkan tarif yang rendah berbanding negeri lain antaranya Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.
“Kerajaan negeri buat masa ini tidak bercadang untuk menaikkan kadar tarif air untuk sektor industri buat masa sehingga diputuskan kelak,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) di Ayer Keroh di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, wakil iaitu eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Mohd. Azrin Kadir.
Mengulas lanjut, Mohd. Rafiq berkata, sejak awal tahun 2018 sehingga kini, SAMB telah membekalkan sejumlah 68 juta liter air bersih sehari untuk kawasan industri dan kilang di seluruh negeri.
Katanya, SAMB juga menjadi agensi bekalan air bersih negeri ini yang membekalkan sejumlah 639 juta liter air sehari melalui tiga empangan dan sembilan loji milik syarikat itu.
“Perancangan terdekat SAMB bagi tambahan air bersih adalah membina loji tambahan fasa kedua di Merlimau yang mampu membekalkan sejumlah 55 juta liter sehari dan dijangka siap tahun depan.
“Selain itu, Loji Air Jernih di utara Melaka berkapasiti 90 juta liter sehari dan dijangka siap pada tahun 2022,” katanya. – UTUSAN ONLINE











