KUALA LUMPUR 13 Mac- Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) memandang serius insiden pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor dan menggesa ditanggani segera agar pihak tidak bertanggungjawab itu diheret ke muka pengadilan.
Pengerusinya, Halim Ishak berkata, langkah itu perlu diambil sebagai peringatan dan pengajaran kepada pihak lain agar lebih berhati-hati pada masa hadapan apabila melibatkan isu menjaga alam sekitar dan kepentingan masyarakat.
Menurut beliau, kejadian tersebut melibatkan kepentingan dan kehidupan masyarakat di sekitar kawasan Pasir Gudang yang terjejas teruk sehingga menyebabkan berpuluh sekolah terpaksa ditutup.
“Pencemaran sisa bahan kimia itu telah menyebabkan pembelajaran serta tahap kesihatan murid-murid serta penduduk setempat terjejas.
“Penduduk juga perlu lebih peka dengan persekitaran dan mengikut arahan daripada semasa ke semasa daripada pihak berkuasa memandangkan usaha melakukan pembersihan pencemaran toksik itu sudah pun dimulakan sejak seminggu lalu.
“Memandangkan kesan pencemaran tersebut agak berisiko tinggi terhadap kesihatan, adalah penting untuk mendapatkan rawatan awal di hospital andainya terdapat sebarang kesan akibat terdedah kepada pencemaran sisa bahan kimia tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE











