Tangani kekacauan, pencemaran kimia - Utusan Malaysia

Tangani kekacauan, pencemaran kimia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai agensi yang berperanan membantu masyarakat berdepan pelbagai bencana antaranya banjir, tanah runtuh, malah menangkap ular serta memusnahkan serangga.

Dalam pertemuan dengan Wartawan HARADIAN SHAH HAMDAN baru-baru ini, Pengarah APM negeri, LEFTENAN KO LONEL (PA) FAZLISYAH MUSLIM berkongsi pencapaian serta persediaan pasukan itu berdepan tugas menyelamat dan cabaran bencana yang semakin rencam pada masa akan datang.

UTUSAN: Boleh kongsikan mengenai pencapaian APM Negeri Sembilan dalam tugas-tugas menyelamat dan kes bencana tahun lalu?

Memuatkan artikel berkaitan…

FAZLISYAH MUSLIM : Sepanjang tahun lalu, sebanyak 9,739 panggilan kes kecemasan direkodkan, iaitu me-ningkat sebanyak 767 kes atau 5.8 peratus berbanding 8,972 kes pada 2017.

Kes paling tinggi melibatkan khidmat kemanusiaan iaitu tangkapan ular sebanyak 4,146 kes; memusnahkan sarang serangga 1,705 kes, lain-lain kes (1,603), kemalangan jalan raya (1,242), sakit (1,002), mangsa lemas (12), kebakaran (10), kemalangan tempat kerja (8), bergaduh (7) dan bunuh diri (4).

Bagaimanakah dengan pe­ngambilan anggota dan kekuatan pasukan APM negeri ketika ini?

Pada tahun ini, kita sasarkan pengambilan 600 anggota.

Mereka datang dari agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, swasta, orang awam dan institusi latihan. Dari jumlah itu kita buat saringan. Ada tiga kategori anggota iaitu Anggota Sukarela Pertahanan Awam (ASPA), Anggota Sukarela Tugas Operasi (ASTO) dan Anggota Sukarela Tugas Pejabat (ASTP). Pada masa ini, kita memiliki 33 kenderaan darat untuk tujuan menyelamat iaitu ambulans, pacuan empat roda, lori dan motosikal. Juga terdapat 15 kenderaan air yang melibatkan bot dan jet ski.

Apakah bentuk latihan yang diberikan kepada anggota APM?

Mereka yang mendaftarkan diri akan dihantar menyertai kursus asas, diikuti kursus lanjutan contohnya mengendalikan kes kemalangan jalan raya, rawatan perubatan, kecemasan atau menangkap ular.

Tahun ini kita fokus kepada latihan supaya anggota dapat kekalkan kemahiran mereka.

Apakah perancangan bagi mempertingkatkan lagi aspek kesiapsiagaan setiap anggota.Kita bercadang tubuhkan pasukan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) Community di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini dengan setiap pasukan dianggotai 30 penduduk setempat. Projek perintis akan dibuat di DUN Sikamat.

Penubuhan CDERT telah dibincangkan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan dalam dua hingga tiga tahun lagi dijangka semua DUN mempunyai pasukan ini.

Apakah ilmu dan kemahiran lain yang perlu diterapkan untuk berdepan isu kecemasan yang semakin mencabar?

Berdasarkan Akta Pertahanan Awam 1951, hasrat asal penubuhan APM pada tahun 1952 adalah membantu pasukan keselamatan utama berdepan serangan musuh. Apabila berlaku isu ketenteraman awam, darurat dan pe-perangan, APM adalah agensi ketiga yang berperanan selepas Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Bermula tahun ini dan lima tahun akan datang, anggota APM bukan saja diberi ilmu menghadapi bencana tetapi juga ilmu ketenteraman awam. Kita sudah ada pasukan khas, Volatile Incident Phase & Emergency Response (VIPER) dan akan ‘berguru’ dengan PDRM bagaimana menggunakan senjata dan menangani kekacauan. Kita akan bekerjasama dengan ATM bagi latihan tempur tanpa senjata. Anggota juga akan diberi pengetahuan kecemasan berkaitan bahan kimia, biologi dan nuklear. Jadi mereka tahu apa perlu dibuat jika berlaku bencana melibatkan bahan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini