Tan Sri bebas reman kes pembangunan tanah milik kuil - Utusan Malaysia

Tan Sri bebas reman kes pembangunan tanah milik kuil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan seorang lelaki bergelar Tan Sri yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung satu projek pembangunan sebidang tanah dimiliki Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur.

Majistret Noraisyah Mohd. Yusof membuat keputusan itu setelah menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tempoh reman lelaki itu dilanjutkan tujuh hari lagi.

Mahkamah juga mengarahkan agar suspek itu dibawa ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM pada pukul 5 petang ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, tempoh dua lagi suspek termasuk anak lelaki suspek bergelar Datuk dan seorang kontraktor disambung sehari lagi sehingga esok.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini pada pada pukul 9.10 pagi dengan memakai baju lokap SPRM dan tangan bergari.

Sementara itu, suspek bergelar Tan Sri itu dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah dengan menaiki kerusi roda.

Sebelum ini, perintah reman selama tiga hari bermula 5 Mac lalu dikeluarkan oleh Majistret Nik Muizuddin Nik Muhammad di Mahkamah Majistret di sini.

Difahamkan, ketiga-tiga individu yang berumur antara 45 hingga 75 tahun itu direman selepas dipercayai mempunyai kaitan dengan urusan kesepakatan tanah yang disiasat suruhanjaya itu.

Perintah reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan SPRM  menahan tiga individu berkenaan bagi membantu siasatan berhubung pembangunan sebidang tanah dimiliki kuil Sri Mahamariamman Devasthanam di Jalan Bandar, Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga suspek direman selepas pasukan penyiasat SPRM membuat serbuan di kediaman suspek bergelar Tan Sri itu di Kota Damansara pada hari Isnin lalu.

Dalam serbuan pada pukul 7.45 malam itu, SPRM dilaporkan merampas wang tunai lebih RM1 juta, beberapa barangan kemas dan jam berjenama yang jumlahnya tidak dipastikan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini