Takungan di tiga empangan MADA mencukupi - Utusan Malaysia

Takungan di tiga empangan MADA mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kadar takungan air di tiga empangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih mencukupi bagi tujuan penanaman padi bagi musim 1/2019 di wilayah tanamannya di negeri ini dan Perlis yang akan bermula bulan hadapan.

Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali berkata, walaupun negara dilanda cuaca panas, paras air di tiga empangan itu iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda dan Empangan Ahning masih berada pada tahap selesa melebihi 54 hingga 81 peratus.

“Sehingga semalam, kedudukan takungan di Empangan Pedu sebanyak 877.74 juta meter padu (81.32 peratus), Empangan Muda 84.19 juta meter padu (54.60 peratus) dan Empangan Ahning 197.82 juta meter padu (71.93 peratus).

“Kedudukan ini jauh lebih baik berbanding kedudukan takungan terendah pada tempoh sama 2017 di mana takungan air bagi Empangan Pedu pada kadar 645.58 juta meter padu (59.1 peratus), Empangan Muda 47 juta meter padu (30.48 peratus) dan Empangan Ahning pada kadar 163.39 juta meter padu (59.42 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa jadual penanaman padi musim 1/2019 terpaksa dilewatkan berbanding musim-musim sebelum ini, setelah mengambil kira amalan penentuan musim dan turunan hujan.

“Pihak MADA telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi pada 24 Februari lalu untuk perbincangan bersama dengan semua pemimpin peladang yang terlibat dan hasil daripada mesyuarat tersebut telah diputuskan Jadual Penanaman Padi dan Bekalan Air bagi Fasa 1 adalah pada 17 April, Fasa 2 pada 1 Mei dan Fasa 3 pada 15 Mei,” katanya.

Beliau juga yakin dengan perlaksanaan sistem kualiti MS ISO 9001:2015 dalam pengendalian sistem pengurusan air, MADA dapat menguruskan pengairan tanaman padinya dengan lebih baik bagi musim ini. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN