SEMENYIH – Sebuah syarikat pembekal teknologi tempatan di sini mendakwa berjaya menghasilkan minyak pelincir kenderaan berprestasi tinggi yang diperbuat daripada minyak sawit menggunakan teknologi fusion.
Ketua Penyelidik Futurun Technologies Sdn. Bhd., Zainudin Idris berkata, minyak pelincir itu telah digunakan keatas lapan kenderaan pelbagai jenis sejak beberapa minggu lalu dan terbukti berfungsi dengan baik.
“Inovasi baru minyak sawit ini menjadikan minyak pelincir berprestasi tinggi tanpa additive (unsur kimia tambahan) menggunakan proses teknologi fusion.
“Teknologi fusion adalah proses memecahkan atom yang mengeluarkan tenaga boleh guna yang tidak berbahaya. Melalui teknologi ini, kami berjaya pecahkan molekul minyak sawit menjadi halus untuk digunakan pada kenderaan,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! pada demonstrasi penggunaan minyak sawit sebagai minyak pelincir di sini hari ini.
Zainudin berkata, pihaknya mengambil masa selama tiga tahun untuk melakukan kajian dan membangunkan produk minyak pelincir kenderaan berasaskan minyak sawit tersebut.
Kata beliau, antara kelebihan minyak pelincir itu kos pembuatan yang lebih rendah, menjimatkan penggunaan petrol, prestasi enjin lebih lancar dan jarak penggunaan yang lebih lama.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Futurun Technologies Sdn. Bhd., Nahar Tajri berkata, pihaknya dalam usaha untuk mengkomersialkan minyak pelincir kenderaan berasaskan minyak sawit tersebut.
“Kami bagaimanapun perlu mendapatkan pengesahan institusi berwajib terlebih dulu sebelum ia dapat dipasarkan secara terbuka,” katanya.
Menurut beliau, produk tersebut juga diharapkan dapat membantu kerajaan dalam berdepan cabaran global industri minyak sawit. – K! ONLINE











