LONDON 11 Mac – Beberapa syarikat penerbangan menggantung operasi pesawat Boeing 737 MAX 8 susulan nahas Ethiopian Airlines dekat Addis Ababa, Etiopia, semalam.
BBC melaporkan, nahas berlaku beberapa minit selepas pesawat ET302 berlepas, mengorbankan 157 penumpang dan anak kapal.
Nahas tersebut merupakan yang kedua melibatkan Boeing 737 MAX 8.
Pihak berkuasa kawalan udara China mengarahkan syarikat penerbangan tempatan menggantung operasi melibatkan model pesawat berkenaan diikuti Ethiopian Airlines dan Cayman Airways.
Ketika pakar-pakar keselamatan memberi amaran terlalu awal untuk mengaitkan punca nahas Ethiopian Airlines, tragedi berlaku selepas model yang sama turut terhempas pada Oktober lalu melibatkan pesawat Lion Air milik Indonesia.
“Dengan dua tragedi melibatkan pesawat baharu Boeing 737 MAX 8 dan berlaku ketika pesawat berlepas, ini ada satu persamaan (untuk siasatan lanjut),” jelas Pentadbiran Penerbangan Awam China dalam satu kenyataan.
Air China, China Eastern Airlines dan Chia Southern Airlines merupakan antara syarikat penerbangan yang terkesan dengan arahan ‘gantung operasi’ tersebut.
Lebih 90 pesawat Boeing 737 MAX 8 digunakan di China.
Saham syarikat aeroangkasa di Perancis, Safran, syarikat pembuat enjin 737 dilaporkan merudum hari ini.
Boeing 737 MAX 8 merupakan pesawat baharu dan mula memasuki pasaran komersial pada 2017.
Boeing melahirkan rasa sedih yang amat mendalam terhadap nahas yang berlaku dan menghantar pasukan untuk membantu siasatan dari segi teknikal.
Siasatan akan dijalankan oleh pihak berkuasa Ethiopia dengan kerjasama pakar dari Boeing dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS).
Kerajaan India memaklumkan akan membincangkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan mengenai Boeing 737 MAX 8.
Jet Airways dan SpiceJet yang menggunakan pesawat jenis sama masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
SYARIKAT PENERBANGAN MANA GUNA 737 MAX 8?
Berdasarkan kepada laman sesawang Boeing, sebanyak 16 syarikat penerbangan telah menerima penghantaran 737 MAX 8.
Kumpulan TUI memiliki 15 pesawat dan menegaskan akan berhubung secara rapat dengan Boeing tetapi masih belum merancang untuk menghentikan operasi MAX 8.
Jurucakap Flydubai memberitahu Reuters, syarikat penerbangan itu ‘akan memantau situasi’ dari semasa ke semasa.
Norwegian Airlines yang memiliki 18 pesawat Boeing 737 MAX 8 akan meneruskan penggunaan pesawat jenis itu.
Pengarah Operasi Penerbangannya memberitahu akan mengikuti sebarang cadangan daripada Boeing dan pihak berkuasa penerbangan.
SilkAir, Aerolines Argentinas dan Air Italy adalah antara syarikat penerbangan yang disenaraikan oleh Boeing bagi penggunaan pesawat 737 MAX 8.
Beberapa syarikat penerbangan di Amerika Utara juga menggunakan pesawat jenis sama dan akan memantau hasil siasatan.
Southwest Airlines menggunakan 31 pesawat Boeing 737 MAX 8 manakala American Airlines dan Air Canada, masing-masing memiliki 24 pesawat.











