Syarikat bungkus semula susu tepung tanpa sijil halal sah diserbu - Utusan Malaysia

Syarikat bungkus semula susu tepung tanpa sijil halal sah diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 5 Mac – Tindakan sebuah syarikat yang melakukan pembungkusan semula susu tepung tanpa menggunakan logo halal yang sah sejak dua tahun lalu diserbu pihak berkuasa Khamis lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syarikat tersebut dimiliki warga tempatan dan dalam serbuan berkenaan, pihak berkuasa turut merampas 5,000 kilogram (kg) susu tepung bernilai RM74,200.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azman Adam berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai yang meragui status halal pada susu tepung yang diimport dari New Zealand itu.

“Hasil serbuan di premis berkenaan kita menemukan 5,000kg susu tepung yang mana setiap guni berisi 25kg. Kesemua susu ini dalam proses untuk dibungkus semula kepada pek kecil iaitu 1kg (RM15) dan 500gram (RM8).

“Pemeriksaan mendapati logo halal pada susu ini sah jika dijual terus tanpa dibungkus semula. Namun, syarikat ini melakukan kesalahan pembungkusan semula produk susu ini kepada jenama sendiri dan tidak mendapatkan logo halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Azman, siasatan awal pihaknya mendapati syarikat terbabit sah berdaftar dan telah beroperasi sejak lapan tahun lalu dengan memasarkan produk susu suhu ultra tinggi (UHT).

Jelasnya, pasaran susu UHT yang dijalankan sah, namun produk susu tepung untuk orang dewasa yang dibungkus semula bagi pasaran di Lembah Klang itu tidak mendapat logo halal yang diluluskan.

“Malah, siasatan mendapati syarikat ini melakukan kesalahan lain seperti peralatan timbang yang digunakan tidak ditentukan sahkan. Selain itu, pek susu tersebut juga tidak diletakkan harga disyorkan di pasaran.

“Setiap syarikat perlu mendapatkan logo halal sendiri sekiranya produk yang diimport ingin dibungkus semula bagi menjamin campuran produk susu tepung ini sah dan mengikut kriteria ditetapkan,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Perenggan 5(1) dan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 serta sampel susu dihantar ke Jabatan Kimia dan Jakim untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN