Pelakon yang gemar tersenyum, Syafie Naswip sebenarnya sangat jarang memuat naik status romantik dalam laman sosial terutama Instagram. Namun, sejak menjalin hubungan cinta dengan Aishah Azman, dia lebih terbuka berkongsi luahan rasa.
“Sejujurnya saya memang sukar mahu meluahkan perasaan dalam laman sosial. Biasanya saya hanya berkongsi soal kerjaya.
“Namun semua berubah apabila saya mula dilamun cinta dengan Aishah. Saya lebih terbuka untuk berkongsi kegembiraan ini dengan peminat kerana selama ini mereka sering tertanya-tanya siapakah gadis di hati saya. Jadi, semuanya sudah terjawab sekarang.
“Insya-Allah, setelah berbincang bersama keluarga, kami akan bertunang pada April ini dalam suasana yang sederhana. Buat masa ini belum ada tarikh lagi kerana kami masih terikat dengan jadual penggambaran.
“Keterbukaan saya bercakap soal kahwin dan bakal bertunang ini menunjukkan saya sudah bersedia untuk menjadi seorang suami. Lagi pun umur 27 tahun bukannya muda lagi, tapi sesuai untuk berkahwin dalam usia sekarang,” kata Syafie yang diperkenalkan sebagai pelakon kanak-kanak menerusi filem Mukhsin.
Bercerita lanjut mengenai perkenalannya dengan Aishah, tampak jelas wajah Syafie tergambar perasaan bahagia.
“Saya dan Aishah sudah lama kenal. Selepas tiga tahun mengenali hati budi barulah kami menjalinkan hubungan cinta yang kini berusia setahun. Memang ada yang beranggapan perancangan kami untuk berkahwin terlalu awal, namun kalau sudah serasi dan suka sama suka, buat apa tunggu lama-lama? Apa yang penting keluarga merestui hubungan kami.
“Sejujurnya saya sudah bersedia fizikal dan mental untuk menjadi suami kepada Aishah. Dari segi ekonomi pun sudah cukup. Selebihnya, saya tak lupa selalu berdoa dan menyerahkan segala urusan kepada Allah. Doakan yang terbaik buat kami,” mohonnya.
Syafie mengharapkan majlis pertunangan mereka pada April ini berjalan lancar.
Syafie menyifatkan Aishah wanita yang tepat untuk dijadikan isteri.
“Aishah seorang yang jujur dan menjadi diri sendiri. Apabila bersama saya dia tidak menjadi orang lain dan tunjuk perangai sebenarnya.
“Dia juga pandai membawa diri dan sangat menghormati orang lain tanpa mengira taraf atau usia,” katanya.
Pasangan kekasih itu juga mempunyai persamaan iaitu tidak terlalu gemar berhubung melalui WhatsApp. Mereka lebih suka bercakap di telefon atau membuat panggilan video kerana lebih puas dan boleh bincang banyak perkara.
“Apabila sedang bekerja, kami tidak suka berhubung dan hanya akan bercerita apa yang berlaku seharian selepas semua urusan kerja selesai,” kata Syafie yang suka menghabiskan masa bersama dengan memasak dan lepak di taman.
Tidak kuat cemburu
Kata orang cemburu tanda sayang. Dalam bercinta, ada rasa cemburu terhadap pasangan perkara biasa. Untuk itu, Syafie dan Aishah ada cara tersendiri untuk mengelakkan perasaan cemburu melampau dalam hati mereka.
“Tipulah kalau saya cakap tidak pernah ada rasa cemburu terhadap Aishah. Dia pun sama. Namun, pada awal percintaan dulu kami sudah meletakkan syarat agar tidak mencampuradukkan soal kerja dan cinta.
“Jadi saya tidak letakkan rasa cemburu dia berlakon dengan lelaki lain. Begitu juga dia yang bersikap profesional apabila saya berlakon dengan perempuan lain.
“Bagi saya, kemesraan di lokasi penggambaran adalah kerana komitmen kerja dan teman sesama artis. Tidak lebih daripada itu. Habis saja waktu penggambaran saya lebih suka balik rumah atau bertemu dengan Aishah. Bergantung kepada keadaan.
“Untuk mengelakkan rasa cemburu biasanya saya akan kenalkan Aishah dengan semua pelakon dan kru agar tidak timbul soal cemburu lagi. Bagi saya ini amat penting kerana dia perlu tahu dengan siapa saya bekerja untuk mengelakkan salah faham yang mungkin terjadi,” kata Syafie.
Impi Watak Lelaki Dewasa
Syafie mengaku masih banyak impian yang belum dapat dicapai dalam hidupnya.
Dari segi kerjaya, dia mengimpikan diberi peranan lelaki dewasa dan watak utama dalam filem aksi. Jika diberi peluang, dia sanggup ‘pasang badan’ dan tolak tawaran lain untuk menjayakan watak tersebut.
Selain itu, Syafie juga mengimpikan mahu membuka restroran bersama bakal isterinya.
“Saya memang suka memasak. Sejak usia tujuh tahun emak selalu ajar memasak sehingga saya sudah pandai sediakan pelbagai resipi. “Jadi, selepas berkahwin saya merancang membuka restoran yang berkonsepkan ala kampung. Saya percaya, ramai yang sukakan makanan kampung walaupun hidup di bandar.
“Bisnes ini juga adalah persediaan saya untuk meneruskan kehidupan selepas kahwin kerana bidang lakonan ada naik turunnya. Ini juga menandakan komitmen serta tanggungjawab saya apabila menjadi suami dan ayah nanti,” katanya.
Serasi Dengan Sweet Qismina
Mengenai kerjaya, Syafie yang bergandingan dengan Sweet Qismina akan muncul dalam siri drama Aku, Dia dan Pinky Promise yang akan ditayangkan di saluran TV Okey dan Astro 109.
Mengakui sangat serasi berlakon dengan Sweet memudahkan peranannya sebagai Azri dan Ray dalam drama tersebut.
“Ini adalah gandingan ketiga kami bersama. Kami mempunyai keserasian dalam berlakon. Tidak perlu berbincang panjang lebar, kami sudah tahu apa yang masing-masing perlu lakukan.
“Dalam drama ini saya bawa watak sebagai Azri dan Ray. Azri seorang yang nakal dan suka kacau Sal (lakonan Sweet) manakala Ray seorang yang pendiam. Bukan mudah membawakan dua watak yang berbeza dalam satu masa. Saya perlu bijak menukar perwatakan mengikut kehendak pengarah.
“Ini adalah lakonan pertama saya dalam drama yang diadaptasi daripada novel.
Sebelum ini bukanlah saya cerewet memilih naskhah tetapi tidak berpeluang muncul dalam naskhah seperti ini.
“Apa yang saya lihat, ada babak yang seronok dibaca dalam novel tetapi tidak sesuai untuk drama.
Dalam hal ini saya kagum dengan idea kreatif pengarah Jamal Khan dalam melihat kesesuaian babak,” kata Syafie yang pernah muncul menerusi filem Nur Kasih The Movie, Songlap, Juvana Jibam dan barisan drama seperti Keliwon, Tanah Kubur dan Oh! My English.










