STPM: Pilih sebab jimat masa elak beban hutang - Utusan Malaysia

STPM: Pilih sebab jimat masa elak beban hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Noor Nabilahuda Mohd  Nazeri, 20, memilih menduduki peperiksaan itu untuk menjimatkan masa selain mengurangkan beban kewangan perlu ditanggung untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad di sini berkata, dengan meneruskan pelajaran di tingkatan enam, beliau dapat terus menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

“Masa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dulu saya mendapat 6A walaupun saya mendapat tawaran menyambung pengajian bidang yang saya minat iaitu perbankan muamalat di Universiti Teknologi Mara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, saya mengambil keputusan untuk menolaknya selepas melihat STPM adalah jalan pintas untuk saya menyambung ke peringkat ijazah* lebih jimat masa dan tidak perlu tanggung beban hutang yang banyak,” katanya yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2018 peringkat negeri Melaka oleh Pengarah Pendidikan Melaka, Datuk Abu Bakar Sahari di sini hari.

Noor Nabilahuda, anak kepada pasangan pesara tentera, Mohd. Nazeri Ibrahim, 45, dan Zawati Embong, 40-an, berkata, beliau tidak mengamalkan sebarang rahsia atau petua tetapi beliau akan memastikan tidur seawal pukul 10 malam dan bangun seawal pukul 3.00 pagi untuk mengulang kaji pelajaran.

Anak sulung daripada dua beradik yang mengambil lima subjek itu berkata belajar pada waktu awal pagi lebih tenang dan apa yang dibaca mudah diingati.

Sementara itu, pelajar cemerlang STPM dari Sekolah Menengah Datuk Haji Talib Karim Noor iaitu P. Theebhashini, 20, yang turut memperoleh PNGK 4.00 berkata beliau memilih menduduki peperiksaan itu untuk mencabar keupayaan diri.

“Semua orang cakap STPM susah namun saya lepaskan tawaran untuk sambung pelajaran ke matrikulasi dan jadikan STPM ini sebagai satu cabaran untuk diri saya,” kata anak bongsu daripada enam beradik itu.

Beliau yang tinggal di Taman Saujana Height, Lendu di Alor Gajah di sini berkata beliau bercita-cita menjadi pensyarah dan berhasrat menyambung pengajian di Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sabah. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini