DUNGUN – Sebuah stor penyimpanan peralatan perkahwinan dan katering musnah dalam kebakaran melibatkan kerugian dianggarkan ribuan ringgit di Kampung Sura di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, keseluruhan stor yang diperbuat daripada kayu terbabit telah musnah dalam kebakaran berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Muhammad berkata, kebakaran itu disedari penduduk kampung sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada pihaknya.
“Dua jentera dengan kekuatan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun dan Paka dekat sini telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat tentang kebakaran itu pada pukul 8.09 pagi.
“Sewaktu tiba, hampir keseluruhan struktur stor penyimpanan terbabit telah musnah dalam kebakaran namun ia dapat dikawal pada pukul 8.59 pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE










