Statut Rome: Kedudukan Yang di-Pertuan Agong tidak terjejas - Utusan Malaysia

Statut Rome: Kedudukan Yang di-Pertuan Agong tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 10 Mac – Keputusan kerajaan untuk menyertai Statut Rome adalah selari dengan dasar kerajaan ‘Malaysia Baharu’ yang menegakkan prinsip kebenaran, hak-hak kemanusiaan, kedaulatan undang-undang,

keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban.

Wisma Putra menegaskan, kerajaan telah mengkaji secara mendalam dan teliti dari segi semua aspek sebelum membuat keputusan untuk menyertai Statut Rome.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan dibuat setelah kerajaan yakin bahawa kedudukan dan kekebalan Seri Paduka Baginda  Yang di-Pertuan Agong tidak akan terjejas,” jelasnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Wisma Putra, Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong membuat sesuatu keputusan di atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Tambahnya, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah juga telah menyembahmaklum perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong dan memberi

penerangan tentang hasrat kerajaan untuk menyertai Statut Rome pada 15 Februari 2019.

Jelasnya, ini adalah lanjutan kepada warkah daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada pemangku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 26 Disember 2018 yang lalu, atas perkara yang sama.

“Sebagai salah satu negara yang telah menandatangani “the Final Act of the United Nations Diplomatic Conference of Plenipotentiaries on the Establishment of an International Criminal Court”pada 17 Julai 1998 bagi penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa jenayah-jenayah serius seperti yang termaktub dalam Artikel 5 Statut Rome iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan, adalah jenayah yang tidak dapat diterima oleh seluruh masyarakat antarabangsa di mana pelaku yang terlibat harus dibawa ke muka pengadilan.

“ICC berpegang kepada prinsip complementarity di mana Artikel 17 Statut Rome memperuntukkan bahawa sesuatu kes jenayah antarabangsa hanya akan disiasat atau didakwa di ICC sekiranya sesebuah Negara Pihak, di atas sebab-sebab tertentu, tidak berkemahuan atau tidak berkemampuan (unwilling or unable) untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan sesuatu jenayah antarabangsa.

“Dalam erti kata lain, ia merupakan mahkamah pilihan terakhir (court of last resort),” jelas Wisma Putra.

Menurut Wisma Putra lagi, sehingga 4 Mac lalu, sebanyak 124 negara telah menjadi Negara Pihak kepada Statut Rome.

“Hakikatnya, jumlah Negara Pihak adalah lebih tinggi daripada bilangan negara yang bukan Negara

Pihak.

” Di kalangan negara-negara pihak ini terdapat negara-negara yang mempunyai sistem raja berperlembagaan seperti Belgium, Kemboja, Denmark, Jepun, Jordan, Lesotho, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, Norway, Samoa, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom,” jelasnya.

Banyak pihak sebelum ini mempersoalkan kewajaran keputusan kerajaan menyertai Statut Rome kerana antara lain bimbang ia akan menjejaskan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan institusi raja Melayu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini