Statut Rom: Keputusan tidak menghormati raja-raja Melayu - Utusan Malaysia

Statut Rom: Keputusan tidak menghormati raja-raja Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Mac – Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan menyertai konvensyen antarabangsa Statut Rom jelas tidak menghormati institusi raja-raja Melayu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan PH tidak sepatutnya tergesa-gesa menandatangani sebarang perjanjian antarabangsa yang boleh terdedah kepada isu-isu menyentuh Perlembagaan Persekutuan sebelum dirujuk kepada pihak Majlis Raja-Raja Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah katanya, keputusan yang dibuat itu menimbulkan persoalan mengapa keputusan dibuat dalam keadaan terburu-buru untuk menyertai pelbagai konvensyen antarabangsa yang menyentuh hak asasi manusia dan hanya diperjuangkan oleh kelompok minoriti daripada kumpulan liberal.

“Mungkin pihak Peguam Negara mempunyai justifikasi tersendiri terhadap isu imuniti raja yang dianggap tidak terkesan dan terhakis dengan Perkara 27 dan Perkara 28 Statut Rom yang memperuntukkan bahawa ketua negara dan komander tentera tertakluk bidang kuasa Mahkamah Jenayah Antarabangsa jika mana-mana jenayah tersebut dilakukan orang bawahan atau pihak berkuasa negara tersebut.

“Namun, keputusan Malaysia menjadi negara ahli Statut Rom memberi implikasi besar dan serius kepada kedudukan, kedaulatan dan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Beliau mengulas mengenai penyertaan Malaysia dalam Statut Rome ICC yang mencerminkan komitmen negara terhadap usaha-usaha membanteras jenayah antarabangsa untuk mencapai keamanan dan keselamatan sejagat.

Menurut Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia menyertai Statut Rome bagi ICC. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini