PUTRAJAYA 13 Mac – Tanggapan sesetengah pihak bahawa Yang di-Pertuan Agong akan terdedah kepada pendakwaan jenayah di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berikutan penyertaan Malaysia ke Statut Rome adalah salah.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tanggapan seumpama itu dibuat tanpa kefahaman asas dalam perundangan atau Perlembagaan.
Sebaliknya kata beliau, keputusan menandatangani Statut Rome dipersetujui oleh Kabinet setelah berpuas hati bahawa kedudukan dan kekebalan baginda kekal terpelihara.
“Dalam sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia dan sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, tugas-tugas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah dilaksanakan atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
“Artikel 40 (1A) menyatakan “Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Oleh yang demikian, tambah Saifuddin, segala tindakan Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan nasihat Perdana Menteri atau Kabinet justeru, penyertaan Malaysia ke Statut Rome tidak menjejaskan kedudukan dan kekebalan baginda.
Berhubung Perkara 41 Perlembagaan yang memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan tetapi ia tidak memberi kuasa mutlak kepada baginda untuk mengisytiharkan perang, beliau memberitahu, perkara tersebut perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40.
Perkara itu menyatakan jelas beliau, Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas-tugas atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet
“Oleh demikian, baginda tidak bertanggungjawab untuk empat jenayah terkutuk yang dikenal pasti dalam Artikel 5 Statut Rome. Tanggungjawab undang-undang untuk sebarang pengisytiharan perang dan pelaksanaannya terletak pada Perdana Menteri serta anggota-anggota Kabinet,” katanya.
Menjawab tanggapan bahawa penyertaan Malaysia ke ICC memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja, Saifuddin memberitahu, menurut Perlembagaan Persekutuan, persetujuan Majlis Raja-Raja diperlukan apabila hendak dilakukan pindaan ke atas Perlembagaan. – UTUSAN ONLINE











