PULAU PINANG 5 Mac – Seramai lapan pegawai penjara dan seorang pemandu kenderaan warga asing ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima wang rasuah yang dianggarkan bernilai lebih RM120,000.
Menurut sumber, kesemua pegawai penjara berusia antara 25 tahun hingga 44 tahun tersebut ditahan di sekitar negeri ini, Kedah dan Pahang antara pukul 9.45 pagi hingga 10.30 pagi tadi.
Turut ditahan ialah seorang pemandu kenderaan warga Indonesia berusia 45 tahun di negeri ini pukul 9.50 pagi tadi.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kesemua pegawai penjara tersebut itu menerima wang suapan dianggarkan bernilai lebih RM120,000 daripada pemandu kenderaan tersebut yang bertindak sebagai orang tengah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kemasukan barangan terlarang ke dalam penjara.
“SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek pagi esok di Mahkamah Majistret di sini.
“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan. – UTUSAN ONLINE











