SPM: 378 calon cemerlang di Kedah - Utusan Malaysia

SPM: 378 calon cemerlang di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA – Seramai 378 daripada 32,003 calon atau 1.18 peratus yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Kedah memperoleh keputusan cemerlang iaitu A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan negeri, Abd. Aziz Selaiman berkata, jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding pencapaian pada tahun sebelumnya iaitu 406 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran.

“Seramai tujuh calon meraih A+ bagi semua mata pelajaran yang terdiri daripada lima calon mendapat 11A+ manakala dua lagi mendapat 10A+.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara calon yang mendapat 11A+ ialah Ooi Shi Ern dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keat Hwa 1, Ng Wen Jia (SMK Dato Bijaya Setia) dan tiga calon dari SMK Sin Min iaitu Ng Woon Yee, Beh Qian Jun dan Khong Yi Fei,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2018 di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini hari ini.

Kata beliau, seorang calon istimewa, Aida Solehah Ahmad Fauzi dari SMK Sultanah Bahiyah memperoleh 4A+ 4A-.

Aziz berkata, pencapaian keseluruhan calon SPM 2018 di negeri ini meningkat dengan nilai Gred Purata Negeri 5.05 berbanding 5.07 pada tahun sebelumnya.

“Pencapaian Gred Purata Negeri Kedah bagi SPM di Kedah menunjukkan peningkatan yang konsisten sejak tahun 2010,” ujarnya.

Tambahnya, peratus calon yang layak menerima sijil meningkat daripada 84.22 peratus kepada 85.42 peratus.

“Pencapaian keseluruhan calon luar bandar juga menunjukkan peningkatan berbanding bandar yang mana jurang perbezaan antara pencapaian calon bandar dan luar bandar semakin rapat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini