KUALA LUMPUR 14 Mac- Sebanyak 98 peratus daripada 8,351 pelajar dari 53 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya memperoleh minimum gred B bagi semua subjek yang diduduki.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, seramai 8,149 calon SPM 2018 telah mencapai sasaran tersebut yang diletakkan oleh pihak Mara.
“Lebih membanggakan, daripada jumlah tersebut seramai 893 daripada keseluruhan calon atau 11 peratus memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.
“MRSM sekali lagi berjaya mencapai prestasi cemerlang dengan mencapai 100 peratus gred lulus dan mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) yang baik iaitu 2.46,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, tambahnya, keputusan SPM yang diumumkan hari ini juga mencatatkan enam buah MRSM menunjukkan prestasi cemerlang dengan GPM kurang daripada 2.0.
Jelasnya, enam buah MRSM tersebut adalah MRSM Kuantan, MRSM Kuala Kubu Bharu, MRSM Kubang Pasu, MRSM Langkawi, MRSM Taiping dan MRSM Tun Ghafar Baba.
“Pencapaian cemerlang dalam SPM 2018 ini membuktikan bahawa Sistem Pendidikan MRSM yang memfokuskan kepada enam disiplin iaitu ‘Science’, ‘Technology’, ‘Religion’, ‘Engineering’, ‘Arts’ dan ‘Mathematics’ (STREAM) mampu melahirkan pelajar cemerlang terutama dari luar bandar,” katanya.- UTUSAN ONLINE











