Skuad futsal Perlis pula tiada gaji - Utusan Malaysia

Skuad futsal Perlis pula tiada gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS tunggakan gaji yang melanda Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) kini semakin parah apabila skuad futsalnya pula mendedahkan berdepan masalah yang sama sehingga menyebabkan mereka terpaksa melupakan saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) yang bakal membuka tirainya bulan depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jurulatih futsal Perlis, Qusmaini Noor Rusli mendedahkan seramai 25 pemain dan tujuh barisan kejurulatihannya tidak menerima sebarang bayaran sejak menjalani latihan bermula Januari lalu dengan jumlah keseluruhannya hampir RM200,000.

Pendedahan tersebut terpaksa dilakukan ekoran kekecewaan mereka terhadap ‘janji manis’ PFA selama ini dan juga tindakan persatuan berkenaan yang tidak mendaftar pasukan futsal menyertai saingan MPFL yang berakhir semalam.

Lebih parah, Qusmaini berkata, skuad futsal Perlis sebelum ini juga telah diminta keluar dari tempat penginapan pasukan pada 22 Februari lepas, sementara kali terakhir beliau berinteraksi dengan bekas Pre­siden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie adalah pada 20 Februa­ri lalu.

“Status kami kini seperti tergantung apabila nak cari pasukan baharu pun sudah tidak sempat kerana pasukan lain te­lah cukup kuota pemain mereka.

“Sebelum ini, kami dimaklumkan skuad futsal Perlis akan menghantar pasukan untuk MPFL. Jika dihantar ia memerlukan banyak dokumen yang perlu dilengkapkan sedangkan tarikh akhir pendaftaran MPFL adalah hari ini (semalam).

“Perkara tersebut membuatkan kami semua hilang arah serta tiada mata pencarian kerana sehingga sekarang kami tidak terima apa-apa bayaran selepas dua bulan berlatih,” kata Qusmaini pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.

Sementara itu, peguam yang dilantik daripada syarikat guaman Saiful, Roger & Co, Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli menjelaskan pihaknya telah meneliti segala dokumen sebelum tindakan susulan akan dilakukan ke atas persatuan dan pre­siden PFA. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN