KUALA LUMPUR – Wanita warga Indonesia, Siti Aisyah yang disabitkan dalam kes pembunuhan pemimpin buangan Korea Utara, Kim Jong-nam dijangka pulang hari ini.
Menteri Hukum dan Hak Asasi Indonesia, Yasonna H. Laoly berkata, proses perjalanan pulang Aisyah ke kampung halamannya akan diuruskan oleh pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
“Proses menghantar Aisyah pulang sedang diusahakan dan kita jangka selewat-lewatnya dia pulang hari ini,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kedutaan Besar Indonesia di Jalan Tun Razak hari ini.
Dalam perkembangan sama, Yasonna yang mewakili kerajaan Indonesia turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Peguam Negara Tommy Thomas kerana membantu dalam meluluskan permohonan pembebasan Aisyah berhubung kes pembunuhan Jong-nam.
“Perjuangan dalam memastikan pembebasan buat Aisyah itu dibuat atas permintaan Presiden Indonesia, Joko Widodo, malah beliau sendiri berjumpa dengan pemimpin tertinggi Malaysia untuk membincangkan perkara tersebut,” ujarnya.
Turut hadir, Duta Besar Indonesia di Malaysia, Rusdi Kirana.
Sementara itu, Siti Aisyah ketika ditemui turut melahirkan rasa gembira atas pembebasannya itu.
“Rasa sangat bahagia dan tidak menyangka hari ini merupakan hari pembebasan buat saya.
“Terima kasih kepada kerajaan Indonesia yang membantu saya sepanjang perbicaraan kes bunuh itu dan tidak lupa juga buat kerajaan Malaysia atas pembebasan ini,” ujarnya. – K! ONLINE











