SEREMBAN 4 Mac – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pinjaman wang menerusi media sosial yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM144,000 sejak enam bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, sindiket yang dikenali sebagai Geng Jeff itu menggunakan Facebook dan WhatsApp untuk memperdaya orang ramai.
“Polis berjaya mengesan lokasi sindiket itu yang beroperasi di sebuah pusat peranginan di Port Dickson. Serbuan dilakukan ke atas sebuah unit apartmen yang disewa di pusat peranginan itu pada pukul 10 pagi, 25 Februari lalu.
“Seramai empat anggota sindiket itu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 17 hingga 23 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Aibee berkata, polis merampas sembilan telefon bimbit, beberapa buku catatan dan 93 kad sim yang dipercayai digunakan sindiket itu untuk menjalankan penipuan mereka.
Beliau berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan mengiklankan pinjaman wang berlesen dalam media sosial dan memberi talian telefon yang berbeza untuk dihubungi.
Katanya, orang ramai yang terpedaya dikehendaki membayar sejumlah wang kononnya sebagai yuran perkhidmatan dan guaman untuk pinjaman diluluskan.
Jelasnya, jumlah yuran perkhidmatan dan guaman dikenakan terhadap mangsa berbeza mengikut jumlah pinjaman dan sindiket akan gagal dihubungi selepas mangsa membuat bayaran melalui akaun bank.
Tambah beliau, penipuan itu hanya dilakukan pada hari Isnin hingga Jumaat dan anggota sindiket itu biasanya akan ke Kuala Lumpur pada cuti hujung minggu untuk berhibur.
“Kesemua suspek ditahan reman bermula 26 Februari lalu sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










