Sindiket penipuan pinjaman wang Geng Jeff tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket penipuan pinjaman wang Geng Jeff tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pinjaman wang di media sosial yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM144,000 ke atas orang ramai sejak enam bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab. Ghani berkata, sindiket dikenali sebagai Geng Jeff itu menggunakan Facebook dan Whatsapp untuk memperdaya orang ramai.

“Kami berjaya mengesan lokasi sindiket ini beroperasi iaitu di sebuah pusat peranginan di Port Dickson. Serbuan dilakukan ke atas satu unit apartmen yang disewa di pusat peranginan itu pada pukul 10 pagi, 25 Februari lalu.

“Seramai empat anggota sindiket itu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita berusia antara 17 hingga 23 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Aibee berkata, polis merampas sembilan telefon bimbit, beberapa buku catatan dan 93 kad sim yang dipercayai digunakan sindiket itu untuk menjalankan penipuan mereka. 

Menurut beliau, modus operandi sindiket itu adalah mengiklankan pinjaman wang berlesen di media sosial dan memberi talian telefon yang berbeza untuk dihubungi.

Kata beliau, orang ramai yang terpedaya dikehendaki membayar sejumlah wang kononnya sebagai yuran perkhidmatan dan guaman untuk pinjaman diluluskan. 

Jelas beliau, jumlah yuran perkhidmatan dan guaman yang dikenakan keatas mangsa berbeza mengikut jumlah pinjaman yang dipohon.

Kata beliau, sindiket itu akan gagal dihubungi selepas mangsa membayar yuran perkhidmatan dan guaman tersebut melalui akaun bank yang ditetapkan.

Tambah beliau, penipuan itu hanya dilakukan pada hari Isnin hingga Jumaat dan anggota sindiket itu akan ke Kuala Lumpur pada cuti hujung minggu untuk berhibur.

“Kesemua suspek ditahan reman bermula 26 Februari lalu sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, secara keseluruhan sebanyak 306 kes penipuan pinjaman wang tidak wujud dilaporkan kepada polis Negeri Sembilan pada tahun lalu dengan nilai kerugian RM1.9 juta.

“Seramai 107 pemilik akaun bank telah dituduh di mahkamah kerana didapati memberikan nombor akaun bank sendiri untuk digunakan bagi penipuan itu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN