KUALA LUMPUR – Sindiket perjudian atas talian yang mensasarkan warga Indonesia ditumpaskan selepas pihak polis menyerbu sebuah kondominium di Sunway Velocity di Jalan Cheras di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 3.50 petang itu, lapan individu termasuk seorang wanita yang merupakan operator pusat judi berkenaan turut diberkas.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan mendapati pusat judi terbabit sudah beroperasi sejak tujuh bulan lalu dan mensasarkan kaki judi dari Indonesia.
“Hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan beroperasi 24 jam dan memperoleh wang pertaruhan sebanyak 20 juta rupiah (RM6,000) sehari.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, tujuh daripada mereka itu bekerja sebagai operator manakala seorang lagi lelaki dipercayai pengurus pusat judi tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Rohaimi, kesemua warga Indonesia berkenaan memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial dan pas lawatan mereka sudah tamat tempoh.
“Kesemua individu yang ditahan berusia lingkungan 23 tahun hingga 38 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE











