Sindiket dadah terbesar tumpas, 2.06 tan syabu RM103.2 juta dirampas - Utusan Malaysia

Sindiket dadah terbesar tumpas, 2.06 tan syabu RM103.2 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 22 Mac – Satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar didalangi rakyat tempatan berjaya ditumpaskan membabitkan rampasan dipercayai jenis syabu seberat 2.06 tan dianggarkan bernilai RM103.2 juta.

Rampasan dalam serbuan pada 19 Mac lalu itu merupakan kejayaan kerjasama tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dalam serbuan dijalankan pada 7.30 hingga 10 pagi itu, seramai enam lelaki tempatan termasuk dalang utama berjaya ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Ulu Tiram.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sindiket ini membawa masuk dadah berkenaan melalui jalan laut dan menjadikan negara ini sebagai transit sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan dan beberapa negara luar.

“Kejayaan ini merupakan rampasan terbesar dalam sejarah polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, dadah yang dirampas itu dibawa masuk menggunakan paket bungkusan Teh Cina Guanyingwang sebanyak 2,000 bungkus yang disembunyikan dalam sebuah kontena.

Selain itu, katanya, kenderaan pelbagai jenama antaranya Toyota Lexus, Toyota Camry, Toyota Estima, Nissan Cefiro, Nissan Navara, Ford Ranger dan Proton Inspira, tiga utas jam tangan, wang tunai dan pelbagai barang kemas turut dirampas.

“Semua suspek berusia antara 35 hingga 49 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah kini direman sehingga 27 Mac ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini