JOHOR BAHRU 5 Mac – Perkhidmatan kurang baik yang dikatakan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat akan disiasat.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd Aziz berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan yang tular dalam media sosial berkaitan perkhidmatan kurang memuaskan di HPSF dan HSNI pada semalam dan kelmarin.
Jelas beliau, pihaknya prihatin terhadap perkara yang menjadi isu dan polimik dalam media sosial sebagai usaha mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan di negeri ini pada masa depan.
“Perkara yang berlaku di Hospital Muar semalam ialah berkaitan dengan kesesakan di kaunter pendaftaran dan bayaran berpusat yang telah pun memulakan perkhidmatannya sejak Januari lalu. Bagi kejadian di Batu Pahat pula, saya baru mendengar mengenainya dan akan dapatkan laporan daripada mereka.
“Kita cukup menghargai maklum balas konstruktif daripada masyarakat yang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap hospital awam. Ini adalah satu langkah yang baik dan paling penting ialah kita akan pastikan masalah ini tidak berulang,” katanya.
Dr. Selahudden berkata demikian bagi menjawab isu yang ditularkan dalam media sosial berhubung kesesakan sebuah kaunter pembayaran di HPSF dan cara layanan petugas Jabatan Jabatan Kecemasan dan Trauma, HSNI yang kurang memuaskan.
Beliau ditemui pemberita dalam Program Derma Darah sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Johor di Poliklinik Pakar Hospital Sultanah Aminah, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE










