Shaharom Nizam Pengarah SPRM Kedah baharu - Utusan Malaysia

Shaharom Nizam Pengarah SPRM Kedah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 4 Mac – Ketua Pegawai Integriti Prasarana Malaysia Bhd., Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap kini dilantik sebagai Pengarah SPRM Kedah yang baharu.

Shaharom Nizam Abd Manap
SHAHAROM NIZAM

Shaharom Nizam, 56, yang bertugas di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu sejak Februari 2017 hingga Januari lalu menggantikan Datuk Mohd. Fauzi Mohamad yang bertukar ke SPRM Perak.

Beliau sebelum ini ditempatkan di pejabat Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM selama sebulan sebelum dilantik ke jawatan sekarang pada Jumaat lalu.

Shaharom Nizam berkata, beliau berikrar akan meneruskan usaha-usaha yang dilakukan Mohd. Fauzi untuk membanteras gejala rasuah di setiap lapisan masyarakat di negeri ini.

“Saya merancang untuk meneruskan tindakan yang boleh memberi impak kepada masyarakat sebagai pengajaran dengan komitmen para pegawai dan anggota serta kerjasama semua pihak termasuk media.

“Saya juga akan berjumpa Menteri Besar (Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir) dan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Kedah bagi membincangkan usaha-usaha menangani rasuah di peringkat kakitangan awam serta menubuhkan pasukan khas untuk tujuan itu,” katanya selepas majlis serah terima tugas Pengarah SPRM Kedah di sini hari ini.

Majlis tersebut disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Profesionalisme SPRM, Datuk Ja’afar Mahad.

Shaharom Nizam juga sebelum ini pernah menerajui SPRM Sabah dan Negeri Sembilan selain turut berkhidmat sebagai Ketua Pusat Latihan Asas, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sementara itu, Mohd. Fauzi dalam ucapannya berkata, sepanjang bertugas di negeri ini sejak 2014, beberapa operasi diketuainya berjaya dilaksanakan termasuk kes unik melibatkan rasuah seks membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan dalam Op Janda.

“Pada 2016 pula, kita berjaya menyita 33 buah kereta dan melucut hak 15 daripadanya menerusi Op Piang serta Op Blok melibatkan seorang jurutera kanan agensi kerajaan yang dilucut hak wang tunainya sebanyak RM1.1 juta,” katanya.

Dalam pada itu, bagi tiga bulan pertama tahun ini, ujar Mohd. Fauzi, SPRM Kedah menerima 137 maklumat berkaitan pelbagai kes rasuah dan salah guna kuasa serta penggubahan wang haram.

Katanya, 36 tangkapan berjaya dilakukan membabitkan lapan penjawat awam bertaraf profesional dan pengurusan, tujuh kakitangan swasta serta 21 orang awam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN