Serangan Christchurch: Syukur dapat lihat suami depan mata, dia selamat - Isteri  - Utusan Malaysia

Serangan Christchurch: Syukur dapat lihat suami depan mata, dia selamat – Isteri 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – “Saya bersyukur dapat lihat suami didepan mata, hati saya lega apabila dapati dia selamat dan sudah stabil.” 

Perasaan itu dikongsi, Prof. Madya Dr. Zurinawati Mohi, 48, selepas mengunjungi suaminya, Mohd. Nazril Hisham Omar, 46, yang cedera dalam kejadian tembakan rambang di Masjid An-Noor, Christchurch, New Zealand.

Menurut Zurinawati, dia dan anak sulungnya, Muhammad Haiqal Daniel, 19, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch (CIA), pukul 10.40 pagi tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulilah, saya berdua (dengan anak sulung) selamat sampai di sini pagi tadi. Kami kemudiannya terus ke Hospital Christchurch untuk melihat keadaan suami.

“Hati saya lega melihat wajah suami biarpun keadaannya masih lemah dan akan menjalani pembedahan kali kedua hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zurinawati yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berkata, suaminya itu dilaporkan stabil selepas menjalani dua pembedahan di Hospital Christchurch dipercayai akibat kecederaan di pinggang dan ibu jari kaki kirinya.

Dalam pada itu, Zurinawati berkata, suaminya juga sempat menceritakan kembali tragedi di masjid berkenaan dan pada awalnya hanya menyangka ia adalah bunyi mercun biasa di dalam masjid berkenaan.

“Bagaimanapun dia (suami) terkejut melihat jemaah lain ditembak. Dia kemudian cuba melarikan diri namun kaki dan pinggangnya juga turut ditembak lelaki bersenjata berkenaan.

“Susulan tembakan itu, suami saya terjatuh sebelum dihempap beberapa mayat lain dan turut berlumuran darah. 

“Suami saya juga ada beritahu dapat melihat dengan jelas lelaki itu menembak jemaah lain namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana cedera,” katanya.

Tambah beliau, dia berkemungkinan akan berada di negara itu selama beberapa bulan untuk menjaga suaminya dan anak-anaknya yang tinggal di sana.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan sekurang-kurangnya 49 orang terbunuh manakala 20 lagi ce­dera dalam insiden serangan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand apabila seorang lelaki melepaskan tembakan di masjid yang penuh sesak pada waktu solat Jumaat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini