GEORGE TOWN – Wakil kerajaan negeri Pulau Pinang bersama-sama anggota keluarga Rahimi Ahmad, mangsa yang cedera dalam insiden tembakan rambang di Christchurch, New Zealand akan diterbangkan ke negara itu esok.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Aziz Mahathir akan mengiringi ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65 dan anak lelakinya, Roshidi, 42.
Rahimi, 39, merupakan antara tiga rakyat Malaysia yang cedera dalam insiden tembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood yang kini menerima rawatan di hospital Christchurch.
Chow, dalam kenyataan berkata, kerajaan negeri mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam tersebut yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 49 nyawa.
Dilaporkan, Rahimi menetap di negara itu bersama isterinya, Nor Azila Mohammad, 39, yang kini sedang menyambung pengajian dalam bidang perubatan bersama dua anaknya, Ahmad Razif, 11 dan Nur Faiqah, 9, sejak 2014. – Bernama











