PUTRAJAYA 10 Mac – Para penduduk menyifatkan ribut kencang hingga menyebabkan beberapa pokok tumbang pada lewat petang semalam adalah kejadian seumpama itu yang kali pertama berlaku di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Menurut seorang penduduk Kuarters Kerajaan Presint 11, Tarmizi Taib, 49, walaupun telah lama menetap di Putrajaya lebih 15 tahun, dia tidak pernah menyaksikan angin begitu kuat dan ribut kencang yang berlaku dalam sekelip mata sahaja.
“Ketika kejadian saya berada di dalam rumah, tiba-tiba angin dan ribut kencang membadai Putrajaya sekali gus menyebabkan pokok tumbang dan menghempap beberapa kereta termasuk milik saya.
“Apabila saya turun untuk mengalih kenderaan, namun saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana dahan besar telah jatuh atas kereta sehingga bumbung remuk dan cermin pecah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada masa sama, seorang lagi penduduk, Azmi Man, 35, pula berkata, dia melihat dengan mata kepalanya sendiri satu pusaran angin seolah-olah seperti puting beliung membadai seluruh kawasan Putrajaya hingga menerbangkan bumbung beberapa kediaman.
Katanya, dia berasa cemas sewaktu menyaksikan beberapa pokok tumbang walaupun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan terjadi.
“Memang sebelum ini pernah ada ribut di sini, tetapi kali ini yang paling teruk sehinggakan kami berasa takut untuk keluar pada waktu itu,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Norizal Noordin, 47, memberitahu walaupun keretanya mengalami kerosakan teruk akibat dihempap pokok, tetapi dia bersyukur kerana tidak memandu pada waktu kejadian.
“Saya secara kebetulan baharu pulang ke rumah selepas beli barang di kedai, selepas itu terdengar angin kencang dan bunyi pokok tumbang, ingatkan terkena kepada orang lain, rupa-rupanya kereta saya sendiri.
“Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana pokok tidak menghempap ketika saya dalam kereta, kalau sebaliknya, tidak tahu apa nasib akan terjadi terhadap saya,” katanya.
Semalam, beberapa kawasan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dilanda ribut kencang pada pukul 6 petang sehingga menyebabkan pokok tumbang malah kejadian itu turut menyebabkan beberapa pintu cermin di Masjid Putra pecah akibat dibadai angin kuat. – UTUSAN ONLINE











