KUALA LUMPUR 10 Mac – Pasangan beregu muda negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya tinggal selangkah untuk menamatkan kemarau kejuaraan 12 tahun negara di Kejohanan Badminton Siri Jelajah Dunia Super 1,000 All England apabila bakal membuat perhitungan terakhir dengan juara dunia dua kali dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan, malam ini.
Aaron-Wooi Yik menjadi ‘giant killer’ dalam kejohanan badminton tertua dunia itu apabila menyingkirkan nama-nama besar sepanjang perjalanan ke pentas final termasuk bekas juara dunia dari China, Liu Cheng-Zhang Nan selain pilihan kelima dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Mereka kini semakin hampir untuk mengulangi pencapaian cemerlang yang pernah ditampilkan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menjadi satu-satunya pasangan beregu lelaki negara yang berjaya melangkah ke pentas final dan menjadi juara pada 2007.
Menjelang aksi final itu, Wooi Yik nyata gembira dengan penampilan pertama mereka di All England dan sama sekali tidak jangka mampu melangkah sejauh itu tambahan dengan kehadiran bintang-bintang ternama dunia.
“Perlawanan sebelum ini memang sukar, tekanan memang ada dalam setiap perlawanan tetapi kami tetap fokus dengan permainan kami.
“Ini adalah All England pertama kami dan final pertama kami di sini. Sudah lama Malaysia tidak menang di All England, jadi saya berharap boleh berikan kejayaan kepada semua peminat sukan badminton di Malaysia esok (malam ini),” katanya.
Mengulas mengenai aksi separuh akhir awal pagi tadi, Aaron memberitahu, mereka hanya memberi fokus untuk mendapatkan mata demi mata dalam setiap set.
“Saya mengingatkan Wooi Yik untuk tidak fokus kepada mencari kemenangan sebaliknya, fikir cara untuk dapatkan mata,” katanya.
Aksi All England kali ini menyaksikan pelbagai kejutan besar berlaku dengan penyingkiran nama-nama besar di peringkat awal termasuk juara dunia lima kali dari China, Lin Dan; pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, Chen Long; juara dunia 2013, Ratchanok Intanon (perseorangan wanita) dan beregu lelaki No.1 dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.-UTUSAN ONLINE











