ADDIS ABABA 11 Mac – Nahas pesawat Ethiopian Airlines, ET302, merekodkan tragedi kedua melibatkan penggunaan kapal terbang baharu keluaran Boeing dalam tempoh lima bulan selepas insiden Lion Air yang terhempas di Indonesia pada Oktober tahun lalu.
Berulangnya tragedi itu menimbulkan persoalan banyak pihak, apakah pesawat tersebut masih selamat digunakan? Dan tak kurang yang mempersoalkan mengapa pesawat baharu boleh berdepan dengan masalah sehingga mencetuskan tragedi.
Susulan itu, Ethiopian Airlines bertindak menggantung operasi semua pesawat Boeing 737 MAX 8 yang dimilikinya sebagai langkah keselamatan.
Menurut laporan AP, jurucakap syarikat penerbangan, Asrat Begashaw berkata, walaupun punca nahas masih belum diketahui, syarikat memutuskan untuk menggantung operasi baki empat pesawat 737 MAX 8 sehingga notis selanjutnya.
CHINA, INDONESIA, Jerman GANTUNG OPERASI MAX 8
China yang dilihat pasaran penting Boeing juga mengarahkan semua syarikat penerbangannya supaya mengambil langkah yang sama diikuti Jerman dan Indonesia selain syarikat penerbangan Caribbean, Cayman Airways menggantung sementara operasi dua pesawat.
Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) menerusi satu kenyataan menyatakan pihaknya akan memaklumkan mengenai bila operasi akan disambung semula selepas menghubungi Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA).
BBC melaporkan, pesawat yang digunakan oleh Ethiopian Airlines adalah Boeing 737 MAX 8 iaitu model sama yang digunakan oleh Lion Air, JT610, dan model itu mula memasuki pasaran komersial pada 2017.
Dalam insiden terdahulu, pesawat Lion Air terhempas beberapa minit sejurus berlepas dari Jakarta menyebabkan kesemua 189 penumpangnya terbunuh dan pesawat itu berusia kurang tiga bulan.
Pesawat Ethiopian Airlines penerbangan ET302 juga mengalami kejadian yang sama iaitu terhempas selepas beberapa minit berlepas dan mengorbankan kesemua 157 penumpang termasuk anak kapal.
KOMENTAR PENGANALISIS
Penganalisis penerbangan yang berpangkalan di Jakarta, Gerry Soejatman berkata, kapasiti enjin model pesawat 737 MAX 8 adalah lebih canggih dengan kedudukan kedua-dua sayapnya lebih tinggi berban-ding model sebelum ini.
Jelasnya, fungsi itu menjadikan model pesawat tersebut lebih stabil apabila di udara.
Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia juga mendedahkan pesawat Lion Air penerbangan JT610 mengalami ‘masalah input’ daripada satu alat pengesannya yang direka untuk memberi amaran kepada juruterbang jika pesawat berkenaan berisiko pegun (stalling).
Namun, siasatan dan punca nahas pesawat tersebut masih belum dimuktamadkan.
Seorang lagi penganalisis penerbangan, John Strickland pula berpandangan persoalan utama yang membelenggu Boeing ketika ini adalah pesawat yang terlibat dalam kedua-dua nahas tersebut membabitkan model paling baharu.
Menerusi satu kenyataan semalam, Boeing memaklumkan pasukan teknikalnya bersedia untuk memberi bantuan di bawah arahan dan permintaan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS).
Syarikat itu juga menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dan akan terus menyokong Ethiopian Airlines.
KOTAK HITAM DITEMUKAN
Dalam perkembangan sama, pasukan penyelamat menemukan kotak hitam dan perakam suara kokpit pesawat tersebut di lokasi kejadian yang terletak di pekan Bishoftu, kira-kira 45 kilometer dari Addis Ababa.
Kesan nahas menyaksikan satu lubang besar terbentuk dengan diameter berukuran 50 meter, selain serpihan pesawat bertaburan dalam kawasan seluas 10,000 meter persegi.
Beberapa jentera berat turut digunakan untuk membantu kerja-kerja mengangkat serpihan bangkai termasuk bahagian sayap dan enjin pesawat.
Selain itu, Agensi Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia menyatakan kesudian untuk membantu Ethiopian Airlines melakukan siasatan susulan insiden tersebut serupa dengan tragedi Lion Air, JT610.
Pengerusinya, Soerjanto Tjahjono berkata, cadangan bantuan itu juga dilakukan berikutan ada rakyat Indonesia yang menjadi mangsa nahas.











