LONDON 15 Mac – Hebat selaku pemain bola sepak profesional bukan jaminan anda mampu cemerlang apabila bergelar seorang pengurus pasukan dan itu dialami bekas bintang Manchester United, Paul Scholes yang bertahan selama 31 hari membimbing kelab Oldham.
Scholes pada hari ini mengumumkan untuk melepaskan jawatannya selaku pengurus kelab Divisyen Keempat Bola Sepak Inggeris, Oldham selepas mengalas tugas berkenaan selama sebulan.
Itu juga adalah karier pertama Scholes sebagai pengurus membimbing skuad senior.
“Saya telah memutuskan untuk meninggalkan kelab ini serta-merta.
“Dalam tempoh singkat membimbing kelab ini telah jelas bahawa saya tidak berupaya membantu pasukan mencapai kejayaan yang diinginkan.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada kelab ini kerana telah memberikan peluang kepada saya membimbing pasukan ini malah rakan-rakan, peminat dan keluarga saya amat teruja ketika kali pertama saya mengalas tugas sebagai pengurus kelab ini,” kata Scholes. – AGENSI










