SC sasar kembangkan pasaran modal Islam - Utusan Malaysia

SC sasar kembangkan pasaran modal Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mac – Badan pengawalseliaan pasaran modal, Suruhanjaya Sekuriti (SC), menyasarkan untuk merangsang pertumbuhan berasaskan pewujudan nilai jangka panjang dengan mengembangkan lagi pasaran modal Islam serta segmen kewangan mampan yang berkaitan.

Dalam Laporan Tahunan SC 2018 yang dikeluarkan hari ini, Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar berkata, ini disebabkan konsepnya bersesuaian dengan prinsip kewangan Islam, dengan Malaysia mengekalkan kelebihan daya saingnya di peringkat global.

“Antara lain, kami akan terus meluaskan rangka kerja sukuk Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan memperkenalkan proses penyaringan positif SRI Islam untuk penawaran ekuiti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Satu lagi bidang tumpuan ialah pembangunan perusahaan sosial melalui model wakaf, yang mana pulangan mampan boleh dijana daripada endowmen dan disalurkan ke arah pembiayaan usaha yang memberi manfaat sosial,” katanya.

Tahun ini, SC komited untuk memupuk inovasi dan daya saing dalam rejim pengawasan yang wajar dan proaktif, serta menggalakkan keterbukaan dan kerjasama yang lebih baik antara SC dan pihak berkepentingan lain dalam ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, penawaran modal, khususnya kepada saluran pembiayaan alternatif akan dipertingkat melalui inisiatif untuk mengembangkan industri modal teroka dan ekuiti swasta Malaysia.

“Untuk tujuan ini, usaha kami akan ditumpukan untuk mempelbagai sumber pembiayaan, selain dana yang disokong kerajaan, di samping menggalakkan pelaburan di peringkat yang berbeza-beza dalam kitaran syarikat penerima pelaburan,” katanya dalam laporan itu.

Beliau berkata, bagi memudahcarakan pengumpulan dana ekuiti, SC akan bekerjasama dengan pengantara terbabit untuk memasukkan lebih banyak perspektif pasaran ke dalam proses tawaran awam permulaan (IPO) dan menambah baik masa ke pasaran bagi cadangan yang mematuhi kriteria perlindungan pelabur yang diperlukan.

Untuk merangsang kerancakan pasaran, SC juga akan menyokong perubahan dalam landskap dagangan dengan membenarkan strategi dagangan yang berbeza, termasuk meningkatkan penggunaan derivatif.

Sementara itu, keseluruhan pasaran modal berjumlah RM3.1 trilion pada 31 Disember 2018, bersamaan dengan 2.2 kali ganda saiz ekonomi domestik.

Beliau berkata, ini terdiri daripada bon dan sukuk domestik belum tebus, yang meningkat kepada RM1.4 trilion dan permodalan pasaran ekuiti sebanyak RM1.7 trilion.

“Dari segi pelaburan, industri pengurusan dana dengan aset bawah pengurusan sebanyak RM743.6 bilion terus memain peranan penting dalam pengantaraan tabungan, sementara pasaran modal mengekalkan peranan penting dalam pembiayaan ekonomi sebenar dengan jumlah dana yang dikumpulkan melalui terbitan bon dan ekuiti berjumlah RM114.6 bilion.

“Walaupun agak baharu, saluran pembiayaan alternatif bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) terus menarik minat, dengan RM261.5 juta telah dikumpulkan oleh 693 penerbit sehingga kini.

“Walaupun menghadapi persaingan yang meningkat, Malaysia kekal sebagai peneraju global dalam pasaran modal Islam dengan ekuiti patuh syariah dan sukuk belum tebus bernilai RM1.9 trilion. Malaysia juga terus kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini