'Saya tak kata PTPTN akan sekat peminjam ke luar negara' - Wan Saiful - Utusan Malaysia

‘Saya tak kata PTPTN akan sekat peminjam ke luar negara’ – Wan Saiful

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 16 Mac – Pengerusi Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata,  kenyataannya berhubung kemungkinan melaksanakan semula dasar menyenarai hitam peminjam hutang ke luar negara telah disalah tafsir.

Sebaliknya, jelas beliau, perkara itu adalah antara beberapa cadangan dan maklum balas yang dikumpul daripada pemegang taruh dan pelbagai pihak dari seluruh negara tentang hala tuju PTPTN.

“Cadangan daripada rakyat ini macam-macam. Ada yang kata PTPTN perlu ditutup, ada yang kata hutang mansuh terus. Ada yang cadang kita saman peminjam sampai bankrap dan ada yang kata dasar sekatan terhadap peminjam ke luar negara itu baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tapi pagi tadi ada laporan dan komen kata saya akan laksanakan semula dasar sekatan ke luar negara. Saya tak cakap macam itu sebaliknya itu adalah antara cadangan pelbagai pihak.

“Di peringkat PTPTN, kita tidak angkat ia sebagai cadangan rasmi kita. Tetapi kita kena iktiraf pandangan semua rakyat. Tetapi setakat ini kita di PTPTN tidak kata ia akan dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar Program Satu Hati di Terminal One di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Yayasan Budi yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, dapatan yang diterima PTPTN akan didokumentasi seterusnya boleh diakses oleh orang ramai pada April nanti.

Beliau menegaskan bahawa PTPTN adalah isu pendidikan dan perlu dibincangkan secara rasional demi generasi akan datang.

“Selama ini PTPTN dibincang secara politik, ada yang mahu mengambil kesempatan. Sebab itu kita kumpulkan semua data dan perbincangan bukan kerana kepentingan politik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini