Saya serah kepada Menteri Dalam Negeri - Anwar - Utusan Malaysia

Saya serah kepada Menteri Dalam Negeri – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Mac – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai cadangan pengampunan terhadap banduan Al-Maunah yang sedang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di Penjara Kajang, dekat sini.

Anwar berkata, beliau sendiri pernah mengikuti perkembangan kes tersebut walaupun sudah 19 tahun berlalu.

Beliau berkata, mana-mana banduan perlu melalui proses pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong kerana bukan berada di bawah bidang kuasanya yang hanya memegang jawatan sebagai ahli Parlimen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya Insya-Allah akan membawa perkara ini kepada pertimbangan dan pengetahuan Menteri Dalam Negeri. Jadi, saya harap (pengampunan) dapat dipertimbangkan oleh KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan perlu melalui proses kerana bukan berada di bawah bidang kuasa saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pengumuman calon PKR di Ibu pejabat PKR di Merchant Square, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md. Akin dan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau menjawab soalan pemberita sama ada pengampunan boleh diberikan kepada banduan yang menjalani hukuman sepanjang hayat di negara ini.

Dalam kes Al-Maunah yang berlaku pada Julai 2000 di Bukit Jenalik, Sauk, Perak itu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat terhadap 16 anggota kumpulan itu manakala tiga anggotanya telah dihukum gantung sampai mati. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini