KUALA LUMPUR 6 Mac – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan orang Melayu berhubung kenyataannya yang tidak menyokong kerjasama antara BN dengan Pas sebelum ini.
Beliau memberitahu, perkara tersebut merupakan kesilapan besar yang dilakukan dalam kerjaya politiknya kerana menyifatkan kerjasama antara dua parti itu bersifat tidak mencerminkan kepelbagaian kaum.
“Saya mahu meminta maaf kepada seluruh umat Islam dan Melayu di negara ini sama ada mereka ahli atau penyokong Pas kerana pernah tidak menyokong kerjasama antara UMNO dan Pas suatu ketika dahulu.
“Saya akui perkara itu merupakan kesilapan politik saya sendiri dan hari ini saya benar-benar mahu lihat kerjasama antara dua parti ini (UMNO dan PAS) boleh diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohamed Nazri dilihat sebagai antara kepemimpinan yang menentang usaha UMNO untuk menjalinkan kerjasama politik dengan Pas. – UTUSAN ONLINE











